Akhbar ‘dikuasai’ rejim lama buat laporan palsu, PH gesa rakyat berhati-hati

Akhbar ‘dikuasai’ rejim lama buat laporan palsu, PH gesa rakyat berhati-hati

Semalam menteri pengangkutan membidas laporan akhbar The Star yang mendakwa Putrajaya meminta satu lagi lanjutan tempoh enam bulan bagi mengkaji semula projek RTS.

Majlis Setiausaha PH berkata, akhbar ‘dikuasai rejim lama’ akan menyebarkan laporan palsu bagi mempengaruhi orang ramai, terutama menjelang PRK Tanjung Piai.
PETALING JAYA:
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat berhati-hati membuat penilaian terhadap kerajaan PH, susulan beberapa isu tidak tepat dan palsu dilaporkan media bagi mempengaruhi pandangan dan persepsi orang ramai, terutamanya menjelang pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Majlis itu berkata, media pada ketika ini diberikan kebebasan dan tidak lagi dibelenggu atau dikongkong kerajaan, justeru menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan media yang masih dikawal rejim lama dan tidak mudah termakan dengan propaganda.

“Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melaporkan di muka hadapan kononnya projek Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) akan ditangguhkan selama enam bulan. Berita ini adalah palsu.

“Hakikatnya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat pengumuman tentang projek RTS secara rasmi pada pukul 3 petang semalam.

“Tulisan yang dibuat berasaskan unsur-unsur separuh benar atau palsu akan semakin menonjol dalam minggu-minggu akan datang, sempena PRK Tanjung Piai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan atas nama Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya, Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook.

Semalam, Loke turut membidas laporan muka depan akhbar The Star yang mendakwa Putrajaya meminta satu lagi lanjutan tempoh enam bulan bagi mengkaji semula projek RTS.

Akhbar itu juga melaporkan kerajaan tidak akan membuat keputusan mengenai Laluan RTS.

Pada masa sama, Majlis Setiausaha PH turut menafikan laporan mengenai kaji selidik mendakwa Mahathir amerupakan menteri kewangan “de facto” dan kononnya pemimpin PPBM memegang jawatan dalam kebanyakan syarikat berkaitan bukan kerajaan (GLC).

“Niatnya adalah untuk memperlihatkan kepada pengundi bukan-Melayu bahawa menteri kewangan sebenarnya tidak mempunyai kuasa dan hanyalah boneka, manakala kerajaan PH dikuasai Dr Mahathir dan rakan-rakan.

“Bagi khalayak Melayu, Mahathir digambarkan sebagai boneka DAP dan Lim Guan Eng. Niat di sebalik semua ini ialah untuk menguncupkan sokongan terhadap PH di kedua-dua pihak Melayu dan bukan-Melayu, supaya PH berpecah dan hancur.

“Bukan itu sahaja, maklumat serong dikemukakan sebuah badan pemikir kononnya penstrukturan semula GLC adalah bertujuan memperkukuh kekuatan perdana menteri dan PPBM pula adalah jelas mengelirukan,” katanya.

Ia sebagai respons balas terhadap seorang pakar ekonomi yang berkata, beberapa lantikan politik dibuat dalam beberapa GLC di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, meliputi lapan wakil dari PPBM, PKR dan Amanah sebagai pengarah dan enam daripada mereka kalah dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Edmund Terence Gomez sebelum ini turut membidas sistem naungan itu dengan berkata, kerajaan menggunakan mekanisme sama yang digunakan oleh Umno dengan memberikan jawatan kepada individu yang setia kepada parti.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa berkata, PH tidak pernah berjanji menghapuskan keseluruhan lantikan politik dalam GLC, selain mendakwa ada pihak menyalah tafsir manifesto gabungan politik itu.

Sivarasa berkata, manifesto tersebut menyebut dengan jelas bahawa PH akan memastikan lantikan ke GLC dibuat atas dasar merit dan profesionalisme, bukannya menghapuskannya sama sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.