RedONE penaja terbesar Terengganu FC musim depan

RedONE penaja terbesar Terengganu FC musim depan

RedONE bagaimanapun enggan mendedahkan nilai tajaan kepada TFC.

Ketua Pegawai Eksekutif RedONE Farid Yunos (dua dari kiri) bersalaman dengan PBSNT Setiausaha Agung Tengku Farouk Tengku Abdul Jalil pada majlis menandatangani kontrak penaja utama hari ini. (Gambar terengganufc.com)
KUALA TERENGGANU:
Semangat juang serta dedikasi tinggi yang dipamerkan pasukan Terengganu FC (TFC) sepanjang Liga Malaysia (Liga M) musim ini mendapat perhatian syarikat telekomunikasi RedONE Network Sdn Bhd yang tampil memberi tajaan terbesar musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Farid Yunus berkata TFC memiliki profil serta reputasi tinggi di persada bola sepak negara, justeru pemilihannya amat bertepatan dengan kriteria yang ditetapkan syarikat.

“Kita tidak nafikan ada menerima permintaan daripada pasukan lain untuk tajaan musim depan, tetapi kagum dengan kuasa TFC dan penyokong bola sepak di Terengganu.

“Kita harap kolaborasi antara RedONE dan TFC bukan sahaja dapat meningkatkan mutu bola sepak negeri, malah dapat meningkatkan ‘kesedaran jenama’ di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kontrak sebagai penaja utama dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hari ini.

Farid menandatangani perjanjian bagi pihak RedONE manakala PBSNT diwakili Setiausaha Agung Tengku Farouk Tengku Abdul Jalil.

RedONE yang pernah menjadi penaja utama bagi pasukan “The Red Warriors” dan “The Red Giants” bagaimanapun enggan mendedahkan nilai tajaan kepada TFC.

Namun pihaknya membayangkan tajaan tersebut akan berterusan dalam jangka masa panjang serta tidak menetapkan sebarang sasaran bagi mengelak tekanan kepada pasukan tajaan.

Timbalan Presiden PBSNT Hishamuddin Abd Karim berkata penajaan terbesar oleh syarikat luar itu membuktikan TFC pasukan yang berdaya saing dan mempunyai identiti tersendiri.

“Kita masih mengalu-alukan penajaan daripada syarikat atau pihak lain yang berminat bagi menampung kos pengurusan lima pasukan di bawah PBSNT yang dianggarkan RM25 juta semusim.

“Selain syarikat RedONE kita ada beberapa lagi penaja musim ini yang berminat untuk meneruskan penajaan mereka untuk PBSNT pada musim depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.