Loke bidas laporan The Star berhubung lanjutan RTS

Loke bidas laporan The Star berhubung lanjutan RTS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual membuat pengumuman berhubung projek RTS bernilai RM4 bilion petang ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini membidas laporan muka depan akhbar The Star yang mendakwa Putrajaya meminta satu lagi lanjutan tempoh enam bulan bagi mengkaji semula projek Sistem Transit Aliran Ringan (RTS).

Dalam satu hantaran di Facebook, Loke berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadualkan membuat pengumuman berhubung projek bernilai RM4 bilion di Johor Bahru itu pada jam 3 petang ini.

“Ini sangat mengelirukan dan merupakan kewartawaan yang tidak beretika,” katanya.

“Anda siarkan laporan muka depan berdasarkan sumber tidak sah dan tidak dinamakan?”

Menurut laporan itu kerajaan tidak akan membuat keputusan mengenai Laluan RTS sepanjang 4km yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor dengan Woodlands di Singapura.

Memetik sumber, laporan itu berkata, permohonan lanjutan terbaru oleh Putrajaya dimaklumkan kepada Singapura pada Isnin.

Ia juga berkata, Kementerian Pengangkutan gagal menyelesaikan beberapa isu di pihak Malaysia.

“Ini termasuklah penempatan semula depot RTS, yang ketika ini dicadangkan ditempatkan di Singapura, serta jenis sistem keretapi yang mahu digunakan,” kata laporan itu.

Satu perjanjian dua hala ditandatangani pada Jan 2018 membabitkan SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia. Projek usaha sama itu dijadualkan siap pada 2024.

Laporan terdahulu menyebut sekiranya Malaysia memutuskan untuk membatalkan projek tersebut, kos yang akan ditanggung oleh Putrajaya dianggarkan sebanyak S$66 juta.

Projek RTS yang dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang setiap jam dari setiap hala dirancang bagi menguarngkan kesesakan lalu lintas antara dua negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.