Konsesi Pharmaniaga akan ditamatkan, kata menteri

Konsesi Pharmaniaga akan ditamatkan, kata menteri

Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiada lagi pemegang konsesi selepas ini, sebaliknya kerajaan akan memperkenalkan sistem tender terbuka.

PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Putrajaya akan menamatkan konsesi gergasi farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Berhad untuk mengagihkan ubat dan produk perubatan kepada hospital kerajaan.

The Star memetik Dzulkefly sebagai berkata, kerajaan tidak akan menggunakan khidmat pemegang konsesi untuk tujuan logistik dan pengagihan bekalan perubatan.

“Tidak akan ada pemegang konsesi lagi,” katanya dipetik akhbar itu selepas pelancaran sebuah acara di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya akan memperkenalkan sistem tender terbuka.

Menurut laporan itu, Pharmaniaga yang merupakan pemegang konsesi tunggal untuk membeli, menyimpan, membekal dan mengagihkan sekurang-kurangnya 700 produk farmaseutikal dalam Senarai Pembelian Produk Diluluskan, akan diberikan lanjutan sementara perkhidmatan.

Ini untuk memastikan bekalan perubatan dan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas sementara menunggu kerajaan memutuskan mekanisme untuk menguruskan tender terbuka.

Dzulkefly berharap mekanisme itu dapat disiapkan menjelang suku pertama tahun depan.

Konsesi Pharmaniaga dilaporkan berakhir 30 Nov ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib menggesa pembaharuan dilakukan ke atas sistem pemerolehan ubat-ubatan bagi sektor awam untuk mengelakkan monopoli oleh mana-mana syarikat.

Pada 2015, Pharmaniaga sebagai pemegang konsesi tunggal membekalkan 38.5% daripada RM2.3 bilion ubat-ubatan untuk semua hospital dan klinik kerajaan serta institusi Kementerian Kesihatan lain.

Kementerian itu berulang kali menafikan dakwaan Pharmaniaga memonopoli bidang kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.