Kami kenal sami pembuat kacau dari India, kata Hindu Sangam

Kami kenal sami pembuat kacau dari India, kata Hindu Sangam

Proses pengesahan mubaligh asing termasuklah pemeriksaan sama ada beliau pernah membuat ucapan kebencian atau terlibat dalam kontroversi lain.

Presiden Hindu Sangam Malaysia RS Mohan Shan.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan Hindu mendedahkan bahawa kerajaan telah berunding dengannya sejak awal 1980-an berhubung kemasukan sami dari India ke negara ini.

Presiden Hindu Sangam Malaysia RS Mohan Shan memberitahu FMT bahawa persatuan berkenaan menapis permohonan sami yang mahu memasuki negara ini sebelum mengeluarkan surat sokongan kepada Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa lain.

Proses pengesahan itu termasuklah pemeriksaan sama ada sami terbabit pernah membuat ucapan kebencian atau terlibat dalam kontroversi lain.

“Kami ada senarai,” kata beliau. “Kami tahu siapakah yang menyelewengkan dan mengapi-apikan komuniti Hindu. Kami tidak mengeluarkan surat sokongan dengan mudah.”

Mohan memberi respons terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bahawa mubaligh asing yang datang ke Malaysia bagi menyampaikan syarahan keagamaan akan ditapis terlebih dahulu.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat pada Selasa bahawa sami atau mubaligh asing perlu mendapat surat sokongan daripada persatuan agama seperti Hindu Sangam, Persatuan Buddha dan Persatuan Evangelis Kristian Kebangsaan.

Mohan berkata, persatuan itu pernah mencadangkan larangan kemasukan ke atas Swami Nithyananda ke negara ini.

“Kesemua ajaran beliau menyelewengkan komuniti Hindu,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, persatuan itu tidak dapat mengawal pergerakan sami yang masuk dengan menggunakan visa pelancong.

“Jika kami tahu mereka berniat tidak baik, kami akan maklumkan kepada Jabatan Imigresen.”

Presiden Majlis Gudwara Malaysia Jagir Singh memberitahu FMT bahawa persatuan itu bersedia menghadiri sesi rundingan dengan kerajaan.

Malah kata beliau, majlis itu ada menulis surat kepada ketua pengarah Jabatan Imigresen, tetapi belum menerima jawapan balas.

Beliau berkata, mengikut amalan sekarang, anggota majlis hanya akan mengisi borang dan mengepilkan salinan pasport sami yang ingin masuk ke negara ini.

Jabatan Imigresen akan menimbangkan permohonan tersebut pada pertemuan bulanan yang diadakan, katanya.

Bagiamanpun katanya, proses itu bermasalah kerana 15 jenis dokumen yang berlainan diperlukan.

“Ia harus dipermudahkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.