Dakwaan tentang hutang dan kecekapan kami tidak tepat, PLUS jawab Halim Saad

Dakwaan tentang hutang dan kecekapan kami tidak tepat, PLUS jawab Halim Saad

Pengarah Urusannya, Azman Ismail berkata, hutang PLUS pada Dis 2001 apbila ia diambil alih Khazanah Nasional Berhad adalah RM16.5 bilion.

Pengarah Urusannya, Azman Ismail. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PLUS Malaysia Berhad menyangkal kenyataan bekas pemiliknya, Halim Saad berkenaan hutang syarikat tersebut 18 tahun lalu dan prestasi semasa di tengah-tengah perlumbaan tawaran untuk membelinya semakin meningkat.

Pengarah Urusannya, Azman Ismail berkata, hutang PLUS pada Dis 2001 apbila ia diambil alih Khazanah Nasional Berhad adalah RM16.5 bilion.

“Jumlah ini hampir tiga kali lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan dalam kenyataan Halim Saad,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Apabila Syarikat Danasaham Sdn Bhd, kemudian memindahkan semua asetnya kepada Khazanah, mengambil alih UEM Group Berhad (UEMG) daripada Renong Berhad dan UEMG diswastakan pada 2001, PLUS adalah anak syarikat milik penuh UEMG, namun PLUS mempunyai hutang sedia ada dengan jumlah pinjaman sebanyak RM16.5 bilion pada tahun kewangan 31 Dis 2001, kata beliau lagi.

“Lanjutan daripada itu, UEMG di bawah pemegang saham yang baru, Danasaham, telah berjaya menyenaraikan PLUS Malaysia di papan utama Bursa Malaysia melalui Tawaran Awam Awal pada 2002 dengan nilai sebanyak RM12.75 bilion, yang berjaya mengurangkan hutang PLUS kepada RM7.2 bilion.

“PLUS telah disenaraikan di Bursa Malaysia selama sembilan tahun dan sepanjang tempoh tersebut, PLUS telah berjaya mengembangkan perniagaannya melalui pemerolehan lebuh raya dalam negara serta pinjaman mereka termasuklah Elite dan Linkedua,” kata beliau lagi.

Azman berkata, PLUS diswastakan pada Nov 2011 di bawah tawaran bersama daripada UEMG dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdasarkan penilaian diluluskan sebanyak RM23 bilion untuk menangani kehendak yang berbeza di antara pelabur asing, institusi dan pelbagai pihak berkepentingan di dalam negara berhubung isu kenaikan kadar tol.

“Oleh yang demikian, bagi membiayai kos penswastaan sebanyak RM23 bilion serta pembiayaan balik pinjaman PLUS Malaysia berjumlah RM11.5 bilion, PLUS telah menerbitkan sukuk Islam terbesar berjumlah RM30.6 bilion pada Jan 2012,” kata beliau.

Respons beliau itu merujuk kepada kenyataan Halim bahawa sejak pengambilalihan itu, hutang meningkat hampir 10 kali ganda harga tender iaitu RM3.4 bilion yang ditetapkan pada 1988.

Halim yang menawarkan untuk mengambil alih PLUS dengan nilai tertinggi RM5.2 bilion tunai, berkata sudah sampai masa kerajaan menyerahkan operasi perkhidmatan awam kepada syarikat swasta.

Beliau yang terlibat dalam operasi lebuh raya melalui Renong Berhad sebelum diambil alih kerajaan pada 2001 berkata, tiada sebarang penurunan dalam kadar tol sejak itu, sebaliknya hanya jumlah hutang melonjak kepada RM30.2 bilion setakat 2019.

“Sejak pengambilalihan itu, hutang meningkat hampir 10 kali ganda harga tender iaitu RM3.4 bilion yang ditetapkan pada 1988. Hanya RM700 juta (hutang) dibayar. Jadi di manakah tunai daripada pendapatan tahunan dibelanjakan?,” kata beliau dipetik BH Online hari ini.

Harga tender RM3.4 bilion bagi konsesi tol selama 30 tahun dianugerahkan kerajaan kepada UEM Group Bhd dan PLUS pada 1988, kata laporan itu.

Halim dipetik berkata ketika beliau meninggalkan operasi PLUS sembilan tahun lalu, jumlah pinjaman hanya berada pada RM6 bilion, lima kali ganda lebih rendah berbanding hutang semasa pengendali lebih raya itu.

Azman berkata, lembaga pengarah PLUS menyedari bahawa ia berdepan dengan peningkatan persaingan yang semakin mencabar seperti munculnya jaringan lebuh raya baru serta perkembangan sistem pengangkutan awam dan teknologi digital.

Sehubungan itu, lembaga pengarah telah membuat keputusan untuk mengambil bakat-bakat baru dan menggunakan pelan perniagaan baru termasuklah mengoptimumkan pendapatan bukan tol dan kecekapan operasi di dalam organisasi.

“Syarikat ini akan terus melabur dalam perkembangan teknologi terkini ke arah pembangunan lebuh raya pintar untuk manfaat semua pelanggan lebuh raya,” katanya.

Mengenai prestasi operasi syarikat, kata beliau, matlamat utama pihaknya adalah untuk menyediakan pengalaman lebuh raya yang selamat dan menyeronokkan selari dengan peningkatan taraf hidup dan sosial masyarakat Malaysia dan menempatkan PLUS di barisan hadapan infrastruktur moden Malaysia yang menyediakan kawasan perbandaran dan perindustrian baru di sepanjang koridor lebuh raya.

Katanya, keuntungan diterima PLUS diagihkan kepada pemegang sahamnya, KWSP dan Khazanah, seterusnya memberi faedah dan manfaat kepada pencarum badan berkanun itu.

“Pihak pengurusan baru telah memperkasa perubahan dengan menggunakan teknologi dan transformasi digital untuk mengurangkan cabaran dan halangan yang wujud dengan cara melakukan sesuatu yang lebih baik di PLUS Malaysia.

“Inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan keselamatan pemandu dan produktiviti kakitangan, seterusnya dapat mengurangkan kos.

“Kami tetap komited dalam usaha berterusan kami untuk menyediakan pengalaman perjalanan di lebuh raya yang lebih selamat, lancar dan selesa kepada pelanggan kami,” kata beliau lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.