Untung suku ke-3 Bursa Malaysia susut

Untung suku ke-3 Bursa Malaysia susut

Bursa Malaysia menyifatkan penyusutan keuntungan bersih sepanjang sembilan bulan itu disebabkan oleh pengurangan hasil operasi sebanyak 11.1% kepada RM357.5 juta berbanding tempoh sama sebelumnya.

Bursa Malaysia melaporkan perolehannya turut berkurangan kepada RM122.67 juta daripada RM129.82 juta sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Bursa Malaysia Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 kepada RM47.10 juta berbanding RM50.19 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Perolehannya turut berkurangan kepada RM122.67 juta daripada RM129.82 juta sebelum ini, demikian menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keputusan kewangan terbaru itu telah menjejaskan keuntungan bersih diraih bagi tempoh sembilan bulan sebanyak 26.5% tahun ke tahun kepada RM140.30 juta manakala perolehan berkurangan sebanyak 16% kepada RM373.16 juta.

Dalam satu kenyataan media, Bursa Malaysia menyifatkan penyusutan keuntungan bersih sepanjang sembilan bulan itu disebabkan oleh pengurangan hasil operasi sebanyak 11.1% kepada RM357.5 juta berbanding tempoh sama sebelumnya.

“Jumlah perbelanjaan operasi bagi sembilan bulan itu susut sebanyak 2.1% kepada RM180.3 juta daripada RM184.2 juta sebelum ini manakala perbelanjaan pemasaran dan pembangunan perniagaan pula meningkat sebanyak 35.2% kepada RM10.4 juta ketika pasaran sekuriti dan derivatif terus memberi tumpuan kepada inisiatif pemasaran dan libat urus untuk menarik peserta baharu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Umar Swift berkata walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar, rancangan tawaran awam permulaan sebaliknya kekal kukuh.

Malah, setakat ini, bursa itu telah mencatat sebanyak 27 penyenaraian baharu, sekali gus mengatasi 21 penyenaraian pada 2018.

Bagi pasaran derivatif, beliau berkata, bursa itu turut menyediakan kemudahan bagi jalinan hubungan serta menerima penyedia pasaran dan penyedia mudah tunai baharu dari wilayah besar China yang memperluaskan lagi dagangan derivatif terbabit dalam tempoh sembilan bulan tersebut.

“Kami juga kekal positif terhadap pasaran modal Islam yang menyaksikan peningkatan penyertaan pelabur institusi dan peserta baharu masing-masing di Bursa Malaysia-i dan Bursa Suq Al-Sila,” katanya.

Muhamad Umar berkata syarikat itu dijangka mencatat prestasi yang memuaskan bagi tempoh berbaki tahun ini, didorong oleh pemangkin domestik yang positif susulan pengumuman Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.