
Beliau berkata kertas mahkamah sedia untuk difailkan hari ini, tetapi pihak berkuasa Sungai Buloh tidak membenarkan akses kepada tiga orang itu untuk mengesahkan afidavit menyokong permohonan mereka.
“Kami akan memfailkan cabaran undang-undang di Mahkamah Sesyen dulu, dan berharap perkara itu akan didengari di Mahkamah Persekutuan kerana ia akan melibatkan isu perlembagaan,” katanya kepada FMT.
Ramkarpal berkata polis boleh menggunakan prosedur Sosma bagi menyiasat mereka yang dituduh melakukan kesalahan terhadap negara atau terlibat dalam keganasan dan jenayah terancang bawah Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, mahkamah hanya ada budi bicara untuk beri ikat jamin kepada mereka yang dituduh dengan kesalahan terhadap negara, dan mereka yang menyertai kegiatan jenayah berat.
Meskipun begitu, katanya, mahkamah hanya boleh beri ikat jamin kepada wanita, mereka yang berusia bawah 18 tahun, orang yang uzur dan tidak berdaya.
“Hakim tidak boleh beri ikat jamin kepada mereka yang dituduh dengan jenayah berkaitan keganasan. Sosma merampas budi bicara memberi ikat jamin dalam keadaan-keadaan khas daripada mahkamah.”
Beliau memberi contoh individu yang dituduh membunuh, kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati bawah Kanun Keseksaan. Dalam Kanun Tatacara Jenayah, ikat jamin boleh diberi walaupun membunuh dikelaskan sebagai kesalahan tak boleh jamin.
Beliau teringat kes bekas peguam, Balwant Singh yang diberi ikat jamin bersyarat selepas didakwa membunuh seorang pemandu penghantaran pada 2002.
Balwant, yang berusia 81 tahun ketika itu, dibenarkan berada di rumahnya selepas mahkamah mengambil kira usia dan kesihatannya. Dia kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan pada 2003.
Adun G Saminathan dan P Gunasekaren didakwa di Mahkamah Sesyen semalam bersama S Chandru, seorang ahli majlis di Melaka.
Mereka didakwa menyokong kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada November tahun lepas.
Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan itu pada satu acara di Melaka.
Mereka dituduh bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman seumur hidup atau maksimum 30 tahun penjara atau denda, dan perampasan sebarang harta yang digunakan dalam perbuatan melakukan jenayah itu.
Saminathan juga didakwa memiliki barangan dengan unsur berkaitan LTTE dalam telefon bimbitnya.
Dia didakwa bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, dan perampasan sebarang barangan seperti itu sekiranya disabit kesalahan.
Tiada rayuan direkodkan di depan Hakim Elesabet Paya Wan. Ikat jamin juga tidak dibenarkan bagi mereka bertiga.
Kes mereka akhirnya akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Mereka boleh ditahan sehingga rayuan atau pendakwaan tamat di Mahkamah Persekutuan.