Royalti minyak untuk Kelantan, Pahang selepas isu sempadan selesai

Royalti minyak untuk Kelantan, Pahang selepas isu sempadan selesai

Menteri Azmin Ali berkata sebelum ini tidak wujud sempadan laut antara negeri.

KUALA LUMPUR: Bayaran royalti melibatkan 10 lapangan pengeluaran minyak dan gas kepada Kelantan dan Pahang hanya akan dilakukan selepas isu persempadanan perairan diselesaikan mengikut perundangan sedia ada.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata ini kerana sebelum ini tidak wujud persempadanan laut antara negeri-negeri.

“Oleh kerana itu, bayaran hasil daripada 10 lapangan pengeluaran ini tidak dibayar kepada mana-mana negeri sehingga persempadanan perairan ditentukan tertakluk kepada perundangan yang sedia ada.

“Selagi isu persempadanan perairan ini tidak diselesaikan, selagi itu ia akan berpanjangan. Baik kita selesaikan sekarang. Bila ia dimulakan, kita boleh tahu lapangan itu milik negeri mana,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin berkata daripada 12 telaga minyak dan gas di kawasan perairan Pantai Timur, hanya dua telaga iaitu lapangan Bumi South dan Suriya Selatan, yang jelas berada di dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisir pantai Kelantan.

Sepuluh lapangan lain, yang mengeluarkan hasil secara berperingkat mulai 2013, berada di luar kawasan tiga batu nautika dari semua negeri terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.