
Timbalan Pesuruhjaya Mohd Mazri Yahya mengingatkan PAS menjalin kerjasama yang meluas dengan pelbagai parti termasuk MCA.
“Kami akan dukung faktor tersebut,” katanya pada sidang media pengumuman calon BN malam tadi.
“Hasil daripada permuafakatan PAS-Umno, kita bukan sahaja bekerjasama dengan komponen BN tetapi termasuk Gagasan Sejahtera,” tambahnya.
Wee, yang juga ketua MCA Tanjung Piai pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal sejak 2008 sehingga tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.
Beliau tewas kepada Md Farid Md Rafik dari PPBM dengan majoriti 524 undi.
Di peringkat DUN bawah Parlimen Tanjung Piai, PH menang di DUN Pekan Nenas dengan majoriti 1,308 undi menerusi Yeo Tung Siong dari DAP, manakala BN mempertahankan DUN Kukup dengan majoriti 862 undi menerusi Md Othman Yusof dari Umno.
Mazri akui PRK Tanjung Piai tidak akan mengubah status quo tetapi ia boleh memberi satu isyarat kepada rakyat.
“Sekiranya berjaya kalahkan PH pada PRK kali ini, pada PRU-15 kita boleh jatuhkan PH,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media yang sama, Presiden MCA Wee Ka Siong memuji hubungan akrab antara Umno, MCA dan MIC yang sudah teruji sepanjang 62 tahun bersama.
“Kita tetap berjiwa rakyat Malaysia. Kita akan turun bersama pastikan BN menang,” katanya.
“Saya yakin Umno Johor dan kita boleh kalahkan PH. Ini masanya kita buktikan.”