
Pengarah Urusannya, Shahril Ridza Ridzuan berkata Khazanah, yang memiliki 51% kepentingan dalam PLUS, mengekalkan pendiriannya untuk tidak menjual pegangannya dalam syarikat itu.
“Kami tidak berminat untuk menjual aset tersebut dan kami sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2019 di sini hari ini.
Awal bulan ini, Shahril Ridza menegaskan Khazanah tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.
Kata beliau, setakat ini pihaknya menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing, mahu pun tempatan.
“Banyak tawaran yang kami terima daripada pelbagai pihak. Namun, jawapan kami kepada mereka sangat mudah. Kami tidak berminat untuk menjual,” katanya.
Menurutnya pihak terbabit turut berhasrat membeli PLUS pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar, selain mahu membayar harga substandard kepada Khazanah dan menggunakan perbezaan harga pembayaran dan nilai sebenar sebagai diskaun tol kepada rakyat.
Mengulas isu itu hari ini, Shahril Ridza berkata beliau juga sama seperti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat semua tawaran tidak menarik.
“(Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) telah menyatakan bahawa tiada tawaran yang menarik. Oleh itu, saya berpegang kepada (kenyataan) itu,” kata beliau merujuk kepada kenyataan Mahathir minggu lalu.
Laporan Bernama awal hari ini memetik Widad Business Group Sdn Bhd telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion.
Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.
Tawaran lain untuk PLUS adalah daripada ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad, bersama dengan rakan niaga, Datuk Wong Gian Kui, yang merancang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam PLUS dengan nilai RM5.2 bilion.
Maju Holdings Sdn Bhd, pengendali Maju Expressway, juga telah mengemukakan tawarannya untuk memperoleh PLUS dengan nilai perusahaan sebanyak RM34.9 bilion termasuk hutang PLUS kepada pemegang bonnya.