
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sendiri memohon Kementerian Dalam Negara membenarkan PGA mengunakan kereta perisai memandangkan kenderaan sedia ada sudah berusia 42 tahun.
“Apabila pihak PGA lakukan sekatan, inilah tindak balas dipercayai dilakukan penyeludup,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
“Saya sudah angkat dan usulkan kepada KDN, supaya mereka dapat jalankan rondaan dengan lebih selamat.”
Pos kawalan sempadan Padang Besar 19 diserang mercun roket dipercayai dilakukan warga Thailand dua hari lalu. Dalam kejadian itu, empat mercun roket dilepaskan dari arah pagar sempadan.
Hamid percaya individu yang menyerang pos kawalan itu marah dengan pendedahan video kegiatan penyeludupan sebelum ini.
“Dia hendak tunjukkan siapakah yang berkuasa. Cubalah masuk ke dalam Malaysia, berani atau tidak. Dia marah sebab tidak dapat seludup air ketum, diesel dan pelbagai barangan lain dari dalam negara kita,” katanya.
Hamid juga memaklumkan pihak berkuasa Thailand supaya tindakan lebih ketat dan rondaan yang lebih kerap dilakukan di sempadan.