Ada VVIP terbabit pemburuan haram di hutan, kata polis

Ada VVIP terbabit pemburuan haram di hutan, kata polis

Abdul Hamid Bador yang enggan mendedahkan identiti VVIP itu berkata, pihak berkuasa sedang memantau individu terbabit.

Abdul Hamid Bador bersama Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Zahari Ibrahim mengadakan sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Bukit Aman hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan ada orang kenamaan (VVIP) yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti pemburuan haram di hutan Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti VVIP itu dan berkata pihak berkuasa sedang memantau individu terbabit.

“Saya dapat makluman ada VVIP yang terlibat dalam aktiviti memburu secara haram. Saya amat serius dalam perkara ini, sekiranya mereka terlibat, lesen senjata api yang digunakan akan dirampas dan sekiranya ditangkap semasa memburu, mereka akan ditahan dan dituduh di bawah undang-undang.

“Tidak ada pengecualian dan tidak ada sebab untuk mereka memburu. Hendak berebut makanan dengan harimau dan beruang buat apa? Kepada VVIP berkenaan, saya nasihatkan mereka akur dengan arahan, sahutlah misi untuk selamatkan flora dan fauna,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau turut mengulangi gesaan untuk kerajaan meluluskan hukuman mandatori sebat kepada penjenayah hutan dan haiwan sebagai amaran serta pengajaran.

Sementara itu, Hamid mengulangi arahan kepada anggotanya yang terlibat dalam menjaga khazanah flora dan fauna negara untuk menembak mati pemburu haram yang menyerang agensi penguatkuasaan hutan.

“Mereka diserang, penguat kuasa kita pula yang lari, sedangkan pemburu haram warga asing ini tidak lari dan ugut pula pihak penguat kuasa kita. Ini memang tidak boleh diterima.

“Jadi, sekiranya mereka berani bertindak ke atas anggota Jabatan Perhilitan, kita akan letakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq.

“Sekiranya pemburu haram bertindak, boleh mencederakan anggota kita hingga menyebabkan kematian, mereka boleh melepaskan tembakan, tembak sampai matipun tidak mengapa.”

Katanya, dua batalion PGA Senoi Praaq seramai 1,073 anggota sudah diarah membantu anggota Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhilitan ketika membuat rondaan.

Pada 28 Julai lalu, Hamid dilaporkan berkata, polis akan memberi kuasa dan kursus khas kepada pegawai Perhilitan bagi menembak pemburu haram, selepas mendapat persetujuan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin untuk memberi perhatian terhadap isu berkenaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.