
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata pihak industri juga diberi masa selama 14 hari untuk mengemukakan maklumat pengisytiharan pelepasan itu.
Katanya, pengisytiharan pelepasan itu termasuk pelepasan efluen dan ia dilakukan bagi mengenal pasti industri yang berkemungkinan melakukan pencemaran.
“Notis arahan ini diberikan bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Jabatan Alam Sekitar mengingatkan kepada industri yang menerima notis arahan tersebut agar memberi maklum balas secepat mungkin.
“Pengisytiharan ini dikehendaki segera dan tindakan mahkamah akan diambil kepada industri yang gagal mematuhi notis arahan tersebut,” katanya dalam sidang media di Menara Aqabah hari ini.
Tan berkata JAS kini menjalankan penguatkuasaan secara risikan dan intipan dengan menggunakan teknologi drone bagi mengesan industri yang melakukan pencemaran di Pasir Gudang.
Teknologi itu digunakan untuk memastikan kerja-kerja penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih cepat serta efektif, dan penggunaannya juga akan tertumpu di kawasan sungai serta pelepasan industri.
“Menerusi intipan dengan menggunakan drone, JAS dapat menjalankan tugas penguatkuasaan dengan cepat terutama di kawasan-kawasan perindustrian yang sukar dimasuki.
“Kita juga berpendapat dengan drone punca-punca pencemaran dapat dipastikan, selain penguatkuasaan bersepadu bersama jabatan terlibat dan aduan awam ,” katanya.
Tan berkata, penggunaan drone itu bermula minggu lepas dan setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang pencemaran di Pasir Gudang.
Sementara itu, Pengarah JAS Johor, Mohd Famey Yusoff berkata intipan menggunakan drone, yang mampu mencapai ketinggian sehingga 500 meter juga, boleh dijadikan sebagai bukti untuk pendakwaan di mahkamah.