Seluar dalam al-Baghdadi diambil ejen risikan Kurdis bantu serangan AS

Seluar dalam al-Baghdadi diambil ejen risikan Kurdis bantu serangan AS

Polat Can, seorang penasihat kanan kepada Pasukan Demokrasi Syria (SDF) diketuai Kurdis, berkongsi butiran kerja-kerja perisikan yang membawa kepada serangan AS sehingga mengakibatkan Abu Bakr al-Baghdadi terbunuh.

Ejen perisikan dari Pasukan Demokrasi Syria (SDF), yang diketuai Kurdis, telah membantu Amerika Syarikat dalam serangan ke atas Abu Bakr al-Baghdadi. (Gambar AFP)
BEIRUT:
Seorang ejen perisikan Kurdis Syria mengambil sepasang seluar dalam Abu Bakr al-Baghdadi untuk ujian DNA, sekali gus membantu Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan yang menamatkan riwayat pemimpin jihad itu, kata seorang pegawai Kurdis semalam.

Polat Can, seorang penasihat kanan kepada Pasukan Demokrasi Syria (SDF) yang diketuai Kurdis, mengeluarkan butiran kerja-kerja perisikan yang membawa kepada serangan AS sehingga mengakibatkan pengasas kumpulan IS terbunuh.

“Sejak 15 Mei, kami telah bekerjasama dengan CIA untuk mengesan al-Baghdadi dan memantaunya dengan teliti,” katanya.

“Al-Baghdadi mengubah tempat tinggal dengan kerap,” katanya sambil menambah, aset mereka berjaya sampai ke rumah di mana ketua IS dipercayai bersembunyi.

“Sumber kami sendiri, yang mampu menjangkau al-Baghdadi, membawa keluar seluar dalam al-Baghdadi untuk ujian DNA dan memastikan (100%) bahawa orang yang menjadi sasaran itu adalah al-Baghdadi sendiri,” penasihat itu menulis di Twitter.

Beliau berkata serbuan AS yang membunuh Baghdadi di wilayah barat laut Idlib sebahagian besarnya adalah hasil kerja perisikan SDF, walaupun serangan Turki terhadap Kurdis yang dilancarkan 9 Okt kini telah ditangguhkan.

“Sumber perisikan kami terlibat dalam menghantar koordinasi, mengarahkan hantaran dari udara, mengambil bahagian dan memastikan operasi itu berjaya sehingga minit terakhir,” kata Can lagi.

Presiden AS, Donald Trump yang mengumumkan kematian orang yang paling dikehendaki dunia itu pada Ahad, mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kurdis Syria “atas sokongan tertentu yang mereka dapat beri kepada kami”, tetapi beliau tidak menjelaskan dengan lanjut.

Trump berkata ujian DNA telah mengesahkan identiti beliau, dan beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Turki, Iraq, Syria dan Russia atas kerjasama mereka.

Semalam, Pentagon berkata jenazah Baghdadi telah dilupuskan di laut.

Tidak ada butiran diberikan di mana atau bila ia dilakukan, tetapi ia menyerupai pengebumian laut pada 2011 membabitkan pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden yang terbunuh dalam serangan pasukan khas AS di Pakistan.

“Urusan pengebumian jenazah telah selesai, telah selesai dan disempurnakan dengan sewajarnya,” kata Jeneral Mark Milley, Pengerusi Ketua Staf Bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.