Kementah mungkin ke mahkamah isu 6 helikopter

Kementah mungkin ke mahkamah isu 6 helikopter

Mohamad Sabu berkata isu itu akan ke mahkamah jika helikopter itu tidak dapat digunakan.

Helikopter jenis MD530G milik MD Helicopters pada demonstrasi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini berkata kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung enam helikopter yang dibeli pentadbiran lepas, bernilai lebih RM300 juta, yang belum dihantar.

Mohamad berkata sekiranya helikopter berkenaan dihantar dan tentera enggan menggunakannya, perbincangan akan diadakan bersama kementerian lain mengenai penggunaannya.

“Kalau tak boleh digunakan oleh kementerian lain, barangkali kita terpaksa pergi ke mahkamah,” katanya.

Menurut pembuatnya, kira-kira 98 peratus tempahan itu sudah siap, katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai Belanjawan 2020.

Pada Mei, FMT melaporkan mengenai pesanan untuk enam helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters dari Amerika Syarikat oleh pentadbiran lepas.

Sumber mendedahkan sebuah syarikat tempatan dilantik sebagai ejen untuk pembelian itu, tetapi kedudukannya sebagai ejen tempatan dikatakan telah dibatalkan MD Helicopters.

Helikopter itu sepatutnya dihantar dalam dua fasa, iaitu dua buah dihantar pada Jul 2017 dan empat lagi dijadualkan dihantar pada Dis 2018.

Pentadbiran lepas membuat pembayaran pendahuluan sebagai RM112.65 juta.

Kementerian Pertahanan sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian helikopter itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.