Gerakan umum calon PRK Tg Piai esok

Gerakan umum calon PRK Tg Piai esok

Gerakan percaya parti itu mampu meraih kemenangannya sendiri dalam PRK Parlimen Tanjung Pia 16 Nov depan

Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu komited untuk bertanding di Tanjung Piai dan berharap apengundi memberikan peluang dan mandat kepada parti itu. (Gambar Facebook)
PONTIAN:
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan mengumumkan calon yang akan bertanding bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kuala Lumpur, esok.

Mengesahkan perkara itu, presidennya Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, calon itu adalah kelahiran negeri ini.

“Esok kita akan adakan satu pengumuman calon di ibu pejabat Kuala Lumpur, memandangkan hari ini banyak calon akan diumumkan oleh parti lain.

“Tumpuan kita adalah esok, calon pula adalah orang Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik gerakan (PRK) Tanjung Piai di Jalan Utama dekat Pekan Nenas di sini, hari ini.

Lau berkata, Gerakan komited untuk bertanding di Tanjung Piai dan berharap agar pengundi memberikan peluang dan mandat kepada partinya itu.

“Inilah masanya untuk pilihan alternatif bagi rakyat. Jadi, kami benar-benar berharap. Tenaga Gerakan akan bermula di sini di Tanjung Piai,” katanya.

Ketika ditanya keyakinan Gerakan untuk menang PRK ini, beliau percaya parti itu mampu meraih kemenangan sendiri.

“Kenapa tidak, jika anda masih ingat bila kita memulakan Gerakan pada 1968 dan 1969, kami bertanding dalam pilihan raya di bawah bendera Gerakan dan menang di Pulau Pinang.

“Jadi jika sejarah berulang sekali lagi, ia boleh berlaku terutama apabila anda melihat kepada situasi dan prestasi semasa Pakatan Harapan dan BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.