
Pengerusinya, Ab Rashid Ab Rahman berkata jawatankuasa itu ada menerima cadangan diwujudkan satu peruntukan khusus berkaitan bilangan penglibatan wanita dalam peringkat pembuatan keputusan politik dan dasar negara minggu lalu.
Kata beliau, sayap wanita Pakatan Harapan (PH) berpandangan peruntukan secara bertulis dalam undang-undang sangat penting bagi merealisasikan pelaksanaan kuota penglibatan wanita dalam proses pembuatan keputusan politik dan dasar negara.
“Ini termasuklah kuota wanita bertanding dalam pilihan raya,” kata beliau dalam kenyataan.
Menurut beliau, sayap itu mengesyorkan empat peringkat strategi iaitu kuota parti sukarela, kuota calon berkanun dan kerusi rezab atau simpanan berkanun serta kerusi tambahan untuk wanita.
Di bawah strategi kuota parti sukarela, mereka mahu parti dengan sendiri secara sukarela menetapkan khusus satu peratusan daripada jumlah calon sesebuah parti dan ia perlu dimasukkan dalam perlembagaan parti dengan jelas.
Mengenai kuota calon berkanun, mereka mahu ia ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya. Wanita PH mengesyorkan perubahan dilakukan dalam undang-undang pilihan raya atau Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan sebilangan kerusi tertentu untuk dipertandingkan atau dipenuhi oleh wanita sahaja.
“ERC akan mempertimbangkan cadangan-cadangan dikemukakan itu, untuk dimasukkan dalam laporan kajian yang akan dihantar kepada kerajaan.
“ERC akan mengambil kira cadangan berkaitan kuota untuk wanita supaya sistem pilihan raya Malaysia adalah setanding dengan negara-negara maju yang mengamalkan demokrasi,” kata beliau.
Kata Ab Rashid, aspek itu juga telah dibangkitkan semasa sesi libat urus dengan Wanita PKR, dalam pertemuan berasingan, di Shah Alam.
“ERC telah menerima memorandum daripada Wanita PKR meminta ERC memasukkan cadangan memastikan 30% calon pilihan raya adalah kalangan wanita bagi memberi lebih banyak ruang kepada kaum wanita daam sistem politik,” kata beliau.
ERC ditubuhkan oleh kerajaan tahun lalu untuk mengemukakan cadangan dan syor bagi memastikan pilihan raya yang dilaksanakan pada masa-masa akan datang adalah pilihan raya yang berwibawa serta mendapat kepercayaan awam.
Jawatankuasa itu telah mengenal pasti 15 bidang kajian dalam urusan pilihan raya, dan laporan awal akan dikemukakan kepada kerajaan Dis ini.