
Wakil Demokrat dari California, yang telah menafikan dakwaan itu, berkata beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan dengan “hati terluka”.
“Saya percaya ia adalah perkara terbaik untuk dilakukan bagi pengundi saya, komuniti saya, dan negara kita,” kata beliau menerusi Twitter.
Keputusan itu diumumkan beberapa hari selepas beliau disiasat oleh Jawatankuasa Etika Dewan Perwakilan.
Jawatankuasa etika melancarkan siasatan selepas blog konservatif RedState melaporkan dakwaan Hill mempunyai hubungan dengan salah seorang pembantunya, seorang lelaki.
Blog yang sama secara berasingan melaporkan dakwaan Hill, yang biseksual, juga terlibat dalam percintaan tiga hala dengan seorang wanita iaitu anggota pasukan kempen, dan suaminya. Ia menerbitkan gambar bogel ahli politik itu.
Beliau telah meminta pihak polis menyiasat gambar-gambar bogel yang diterbitkan dalam talian.
Hill, 32, menafikan ada hubungan dengan pembantunya, yang mungkin melanggar peraturan Kongres.
Dalam satu kenyataan mengumumkan penyiasatan itu, jawatankuasa etika berkata, langkah siasatan tidak bermakna “wujud apa-apa pelanggaran”.
Beberapa jam sebelum siasatan kongres dilancarkan pada Rabu, Hill menghantar surat kepada para penyokong, mengakui ada “hubungan” dengan seorang anggota wanita pasukan kempen 2018.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai “tidak wajar”.
Hubungan yang diakui Hill berlaku sebelum beliau dipilih, jadi tidak tertakluk kepada peraturan kongres mengenai hubungan peribadi.