Trump umum ketua IS Baghdadi maut akibat bunuh diri

Trump umum ketua IS Baghdadi maut akibat bunuh diri

Presiden AS berkata, hanya seekor anjing cedera dalam serbuan di Syria itu.

Abu Bakr al-Baghdadi membunuh dirinya bersama tiga anaknya dengan meledakkan jaket sarat bahan api ketika dia cuba melarikan diri daripada tentera AS di sebuah terowong di wilayah Idlib, barat laut Syria.
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi maut dalam satu serbuan semalaman yang diketuai tentera negara itu di Syria.

Baghdadi membunuh dirinya bersama tiga anaknya dengan meledakkan jaket sarat bahan letupan, apabila dia cuba melarikan diri daripada tentera AS di sebuah terowong ketika serangan di wilayah Idlib di barat laut Syria.

“Malam tadi, AS membawa ketua pengganas nombor satu dunia ke muka pengadilan,” kata Trump dalam ucapan yang disiarkan di televisyen dari White House.

Kematian Baghdadi adalah kemenangan penting bagi Trump beberapa minggu selepas beliau tiba-tiba memutuskan untuk mengeluarkan tentera AS dari Syria yang mendapat kritikan pedas, termasuk daripada ahli politik Republikan yang bimbang langkah itu mungkin menyebabkan kebangkitan IS.

Hari ini, Trump berkata, hanya seekor anjing cedera dan serbuan itu tidak akan mengubah keputusannya menarik tentera AS dari Syria.

“Samseng yang berusaha menakut-nakutkan orang lain menghabiskan saat-saat akhirnya dalam ketakutan dan panik tentera AS menyerangnya.

“Dia sampai ke penghujung terowong ketika dikejar anjing kami. Dia meletupkan jaketnya, membunuh dirinya dan tiga anaknya. Badannya musnah akibat letupan itu. Runtuhan terowong itu menghempapnya.”

Trump berkata, Rusia membuka ruang udaranya untuk serbuan itu dan sekutu Kurdish memberi beberapa maklumat berguna.

Kematian Baghdadi mungkin antara pencapaian terpenting Trump dari segi keselamatan negara dan akan membantu presiden Republikan itu menunjukkan kekuatannya ketika menentang inkuiri pemecataan oleh Demokrat pada bulan lalu.

Inkuiri pemecatan itu memfokuskan permintaan Trump untuk Ukraine menyiasat seorang seteru domestiknya – Joe Biden dari Demokrat – demi kepentingan manfaat politik peribadinya.

Anak Biden, Hunter berkhidmat menganggotai lembaga pengarah sebuah syarikat gas Ukraine.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.