
Yudi Latif dari Akademi Ilmu Pengetahuan Indonesia berkata, sikap itu bercanggah tuntutan agama yang menekankan pembangunan tamadun tanpa meminggirkan soal kehidupan selepas mati.
“Sekarang ini, pemikiran orang Islam itu terlalu menekankan soal kehidupan selepas mati, terlalu menekankan pencapaian sewaktu kehidupan selepas mati, seolah-olah isu ekonomi adalah isu kotor.
“Orang Islam sekarang merasakan seolah-olah mereka tidak ada kaitan dengan pembangunan ekonomi. Mereka cuma berdoa, fokus bagaimana hendak dapatkan syurga di akhirat nanti.
“Kita lupakan syurga di sini dan di sana (akhirat),” katanya dalam Wacana Ilmiah Masa Depan Budaya Ilmi Dalam Peradaban Nusantara di Universiti Islam Antarabangsa hari ini.
Yudi berkata, perkara sedemikian pernah berlaku pada zaman gelap Eropah, apabila gereja terlalu memainkan peranan dalam isu membabitkan agama hingga terpisah daripada masalah realiti yang dihadapi masyarakat.
“Islam itu membawa perkara penting dalam satu peradaban di mana ajaran agama, ilmu pengetahuan dan ekonomi itu merupakan satu tautan yang mempunyai hubung kait.
“Sebelumnya berlaku di gereja Eropah, apabila agama dan ekonomi terpisah. Tetapi, Islam pula membawa agama dan ekonomi, bukanlah sebagai perkara eksklusif, tetapi mempunyai hubung kait.
“Jadi, apa yang boleh saya katakan, masalah tamadun Islam pada hari ini adalah apabila umat Islam merasakan agama dan ekonomi itu sekarang ini berlaku pemisahan.”
Katanya, umat Islam harus segera mengubah pemikiran mereka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta “syurga” di dunia dan akhirat.
“Maka kita perlukan perubahan teologi besar-besaran bahawa kita juga harus mencipta syurga di dunia sekarang.”