Sarawak dapat peruntukan kedua tertinggi Belanjawan 2020, kata Guan Eng

Sarawak dapat peruntukan kedua tertinggi Belanjawan 2020, kata Guan Eng

Menteri kewangan berkata, Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM4.4 bilion untuk tahun depan.

Lim Guan Eng berkata, RM4.4 bilion adalah untuk 621 projek di Sarawak pada 2020 berbanding RM4.3 bilion bagi 569 projek pada 2019.
MIRI:
Sarawak antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2020 untuk tujuan pembangunan semua sektor di negeri itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menafikan tuduhan kerajaan persekutuan berat sebelah dalam pembahagian peruntukan berkata, Sarawak ialah penerima kedua tertinggi selepas Sabah.

Katanya, Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM4.4 bilion untuk tahun depan.

“Jumlah RM4.4 bilion adalah untuk 621 projek di Sarawak pada 2020, meningkat berbanding RM4.3 bilion bagi 569 projek di negeri ini pada 2019,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-19 DAP Sarawak di sini, hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, prihatin dengan pembangunan di Sarawak, kerajaan persekutuan bercadang menggandakan pemberian khas di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mulai tahun depan kepada RM32 juta berbanding RM16 juta yang disalurkan sejak 1969.

“Bagi menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Sarawak, kerajaan persekutuan bercadang meningkatkan kadar tersebut sehingga RM64 juta dalam tempoh lima tahun.”

Beliau berkata, di bawah Belanjawan 2020, RM400 juta akan disalurkan untuk membaiki sekolah daif di negeri itu dan ini membuktikan kerajaan persekutuan tidak mengabaikan isu itu di Sarawak.

“Kerajaan persekutuan mengambil langkah untuk berkongsi 50% daripada hasil cukai pelancongan yang dipungut di negeri masing-masing, apabila pada Mac 2019, kerajaan Sarawak menerima RM2.6 juta yang merupakan 50% kutipan cukai pelancongan di Sarawak pada 2018.”

Mengenai cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melibatkan hampir 6,000 rumah panjang serta kampung di Sarawak pada tahun depan, beliau berkata, Kementerian Kewangan bersedia memberi peruntukan kewangan sewajarnya bagi memantapkan organisasi tersebut.

Katanya, kerajaan persekutuan bersetuju dengan penubuhan MPKK sebagai persiapan peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 yang diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

Beliau berkata, penubuhan MPKK untuk memudahkan saluran peruntukan kewangan dari kerajaan persekutuan bagi pelaksanaan pelbagai projek di luar bandar, selain membentuk barisan pemimpin akar umbi jika kerajaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri selepas PRN12.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.