
Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia.
Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan ‘Dipa’ yang bererti cahaya dan perkataan “Gavali” yang bererti barisan.
Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil antara bulan Okt dan Nov.
Pada hari yang bermakna bagi penganut agama Hindu, Sikh dan Jain, kebanyakan daripada mereka akan menghias rumah dengan pelita.
Selain itu, mereka akan mengagihkan manisan atau pakaian baru kepada ahli keluarga, sanak-saudara, dan jiran-jiran terdekat. Seterusnya, mereka akan melakukan upacara sembahyang dan keagamaan.

Menjadi sesuatu yang sangat asing jika kita melihat Deepavali tanpa pelita kerana perayaan itu sendiri mempunyai maksud “pesta cahaya”.
Antara sebab mengapa perayaan ini diraikan dengan pelita yang dipasang adalah sebagai simbolik penganut Hindu yang melambangkan kejayaan mengatasi kejahatan berdasarkan lagenda yang diturunkan kepada mereka mengenai Raja Narakasura dan Dewa Krishnan.
Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan.
Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua orang merai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.
Oleh itu, pelita dipasang dan dinyalakan di rumah bagi melambangkan kejayaan mengatasi kejahatan.
Pelita yang dipasang sedikit sebanyak turut memeriahkan lagi perayaan tersebut.
Dan pada zaman ini “kolam” bukanlah satu nama yang asing lagi.
Ia bukan sahaja menjadi tradisi bagi kaum India malah masyarakat Melayu dan China juga kini mula menjadikan “kolam” sebagai penyeri dan hiasan ketika meraikan sesuatu perayaan.
Ini kerana seni yang dihasilkan dengan pemilihan warna terang secara tidak langsung menyerlahkan seni lukisan yang dihasilkan.
Dan, bagi kebanyakan penganut Hindu, mereka akan menghiasi rumah mereka dengan “kolam” atau “rangoli” iaitu hiasan lantai yang diperbuat daripada beras hancur yang mempunyai pelbagai warna sebagai tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.

Menurut pereka hiasan “kolam”, Lee Mahendran, 38, yang berpengalaman 16 tahun, kemahiran membuat “kolam” ini diwarisi secara turun-temurun dalam ahli keluarganya.
Walaupun nampak susah, tetapi ia boleh dibuat dengan cantik, unik dan menariknya kebanyakannya bermotifkan tumbuhan, bunga dan burung merak.
Menyediakan hiasan kolam di setiap rumah juga secara tidak langsung membawa maksud yang amat bererti kerana perayaan ini bukan sahaja diraikan oleh penganut Hindu tetapi juga makhluk lain di dunia.
“Hiasan kolam ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi, dewa kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah yang mempunyai hiasan ‘kolam’ di pintu masuk rumah.
“Ia juga sebagai satu tradisi memberi makanan kepada serangga kecil seperti semut dan juga burung dengan harapan mendapat berkat dan dimurahkan lagi rezeki bagi masyarakat India,” katanya kepada FMT.

Tambah beliau, apabila sesebuah rumah ada “kolam”, ia secara tidak langsung dapat menggembirakan dan mengalu-alukan tetamu yang hadir disebabkan hiasan warnanya yang menarik dan menyerlah.
Bagaimanapun katanya, “kolam” kini bukanlah satu hiasan khas untuk kaum India kerana masyarakat Melayu dan Cina juga kini mula memilih “kolam” sebagai hiasan yang mewarnai sesuatu majlis.
“Ia secara tidak langsung menggambarkan Malaysia yang terkenal dengan keharmonian pelbagai kaum.”
Selamat menyambut Deepavali!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]