GP Australia: Pelumba Petronas gagal cemerlang, Marquez pertahan juara

GP Australia: Pelumba Petronas gagal cemerlang, Marquez pertahan juara

Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda, meneruskan penguasaannya dengan menang buat kali ke-11 musim ini.

Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda muncul juara Grand Prix Australia. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo hadapi dua nasib berbeza pada perlumbaan Grand Prix Australia, di Sirkit Phillip Island, hari ini.

Morbidelli mengakhiri perlumbaan 27 pusingan itu di tempat ke-11 selepas mencatatkan masa 41 minit 7.875 saat, manakala Quartararo yang mahu mencipta satu lagi kemenangan podium, gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan di pusingan kedua, bersama Danilo Petrucci dari pasukan Ducati.

Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda, meneruskan penguasaannya dengan menang buat kali ke-11 musim ini, selepas pendahulu perlumbaan Maverick Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha, terjatuh pada pusingan terakhir.

Pelumba berusia 26 tahun itu mencatatkan masa 40 minit, 43.729 saat diikuti pelumba British Cal Crutchlow dari LCR Honda Castrol (40:55:142s), manakala pelumba tuan rumah Jack Miller dari Pramac Racing di tempat ketiga (40:58:228s).

Pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin dari Red Bull KTM Tech 3, menamatkan perlumbaan di tempat ke 15 daripada 16 pelumba, dengan catatan masa 41 minit 28.679 saat.

Pada perlumbaan Moto2 pelumba Petronas Sprinta Racing Adam Norrodin yang mengantikan Khairul Idham Pawi yang cedera, buat kali kelima menamatkan perlumbaan di tempat ke-23 daripada 27 pelumba dengan masa 40 minit 3.994 saat.

Sementara itu pelumba Petronas Sprinta Racing John Mc Phee dan Ayumu Sasaki berjaya menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat kelima (37:46.147s) dan tempat ketujuh (37:46.846s).

Perlumbaan kedua terakhir Kejuaraan dunia MotoGP 2019 akan berlangsung di MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 1-3 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.