Belgium lantik PM wanita pertama

Belgium lantik PM wanita pertama

Raja Philippe dijangka mengumumkan pelantikan Sophie Wilmes secara rasmi seawal-awalnya pada Ahad.

Sophie Wilmes pertama kali dipilih ke Parlimen pada 2014. (Gambar AFP)
BRUSSELS:
Menteri Belanjawan Belgium, Sophie Wilmes menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai perdana menteri sementara negara itu, kata penyandang jawatan berkenaan, Charles Michel pada Sabtu.

Wanita berusia 44 tahun itu perlu mengangkat sumpah di depan Raja Philippe yang dijangka mengumumkan pelantikan itu secara rasmi seawal-awalnya pada Ahad.

Michel yang dijangka mengambil alih jawatan presiden Majlis Eropah pada 1 Dis ini, pada Jumaat lalu berkata, beliau berhasrat melepaskan jawatan perdana menteri “paling awal” bermula bulan depan.

Belgium tidak mempunyai kerajaan persekutuan yang berfungsi sepenuhnya sejak gabungan yang diketuai Michel tumbang pada Dis tahun lalu.

Sejak itu, beliau kekal sebagai perdana menteri sementara. Situasi politik di Belgium bertambah rumit akibat keputusan berbelah bahagi pilihan raya Parlimen pada Mei lalu.

“Tahniah kepada Sophie Wilmes yang namanya dikemukakan kepada raja sebagai perdana menteri sementara,” kata Michel di Twitternya.

Wilmes yang dianggap sekutu Michel dan pertama kali dipilih ke Parlimen pada 2014, dipilih oleh Jawatankuasa Kementerian.

Belgium pernah berdepan krisis politik. Pada 2010 hingga 2011, negara itu tidak mempunyai kerajaan selama 541 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.