Baca tulisan Teck Ghee, NGO beritahu Anwar

Baca tulisan Teck Ghee, NGO beritahu Anwar

Lim menyifatkan agenda reformasi di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sebagai 'bencana yang tidak terkawal'.

Bekas penasihat serantau PBB dan pakar politik Bank Dunia, Lim Teck Ghee.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada kumpulan moderat Malaysia menggesa Anwar Ibrahim supaya membaca artikel yang ditulis anggotanya Lim Teck Ghee selepas presiden PKR itu mempersoal kredibiliti akademik beliau.

Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) berkata, Lim menulis beberapa “esei tajam” mengenai sebilangan skandal besar ekonomi selain 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lim juga menulis mengenai keadaan negara sepanjang 14 tahun lepas.

“Kami pasti (Anwar) akan mengubah fikirannya apabila penelitian fakta ini dibuat,” kata kumpulan berkenaan selepas Anwar mempersoalkan keberadaan Lim berhubung perbuatan rasuah dan salah urus yang berlaku di bawah kerajaan sebelum ini.

Bercakap pada satu forum awam, Lim menyifatkan agenda reformasi di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai “bencana yang tidak terkawal”.

Dalam respons balasnya Anwar berkata, “ahli akademik ini membisu ketika rasuah berpuluh-puluh bilion, tetapi sekarang cakap negara tidak terkawal”.

Lim menyenaraikan rasa tidak puas hati umum terhadap kerajaan PH, termasuk yang melibatkan isu pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kontroversi Dr Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Maju berkata, ahli politik “suka melatah” apabila rakyat mengkritik mereka, seterusnya mengingatkan bahawa ahli politik berkhidmat kepada rakyat, bukan sebaliknya.

“Pemimpin PH harus membaca tulisan Dr Lim dengan teliti, bukannya menyerang pengkritik yang masih merupakan penyokong kuat mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.