
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, “tiada keperluan untuk terus menahan mereka” di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan penahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.
“Tidak syak lagi, mereka boleh didakwa atas kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Sosma di mana ikat jamin boleh ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Saya bagaimanapun menggesa peguam negara mendakwa mereka sejajar Kanun Prosedur Jenayah dan menawarkan ikat jamin kepada mereka, jika beliau berpendapat ada bukti secukupnya kerana tiada guna menolak ikat jamin memandangkan meeka hanya disyaki melakukan kesalahan di tahap ini.”
Beliau berkata demikian selepas polis Bukit Aman memaklumkan kertas siasatan kes itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Rabu lalu.
Dua belas individu itu ditahan sejak 10 dan 12 Okt lalu, susulan operasi ke atas penyokong LTTE yang didakwa cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas itu.
Lima daripadanya, termasuk Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, Adun Gadek, G Saminathan dan dua lagi ahli DAP memfailkan permohonan habeas corpus pada 21 Okt lalu untuk memohon dibebaskan daripada penahanan di bawah Sosma.
Kumpulan LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.