Wasiat taikun hartanah tidak sah, pakar syariah beritahu mahkamah

Wasiat taikun hartanah tidak sah, pakar syariah beritahu mahkamah

Mana-mana orang yang mewasiatkan tanah milik mereka untuk tujuan wakaf mesti menyerahkannya kepada pihak berkuasa Islam untuk selama-lamanya.

Peguam utama Akberdin Abdul Kader dan Yuslinov Ahmad (kiri) di luar Mahkamah Tinggi Syariah di George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Seorang profesor undang-undang Islam memberitahu Mahkamah Syariah di sini bahawa wasiat yang ditinggalkan taikun hartanah pada tahun 1800-an yang menetapkan tanah miliknya digunakan untuk tujuan wakaf hanya selama 21 tahun adalah tidak sah di sisi undang-undang Islam.

Ahmad Hidayat Buang dari Universiti Malaya, seorang pakar undang-undang pesaka Islam berkata, mana-mana orang yang mewasiatkan tanah milik mereka untuk tujuan wakaf atau endowmen Islam mesti menyerahkannya kepada pihak berkuasa Islam untuk selama-lamanya.

Beliau berkata, dalam kes Shaik Eusoff Shaik Latiff, kehendak taikun itu tidak selaras dengan undang-undang Islam kerana beliau mewasiatkannya (tanah) selama 21 tahun dan setelah itu perlu dikembalikan kepada waris beliau.

“Syarat sedemikian adalah bertentangan dengan peraturan wakaf dan secara serta-merta terbatal sebagai tanah wakaf. Ia berlawanan dengan undang-undang Islam.

“Dalam mazhab Shafii tidak wujud wakaf tempoh ‘terhad’ seperti 21 tahun. Ia tidak sah dari mula.

“Selain itu, tidak ada kenyataan daripada waris yang bersetuju bahawa tanah itu dikembalikan kepada tujuan wakaf berikutan kematian Shaikh Eusoff,” katanya.

Hidayat berkata, beliau dan dua lagi pakar undang-undang Islam telah memeriksa wasiat Shaik Eusoff, termasuk mengkaji daftar tanah wakaf pada 1900-aa serta Buku Panduan Lembaga Endowmen Islam dan Hindu.

Katanya, oleh sebab itu pengambilalihan tanah wakaf tersebut oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) adalah tidak sah kerana tanah milik Shaik Eusoff itu kekal di bawah Akta Pemegang Amanah, yang merupakan undang-undang sivil.

“MAINPP tidak mempunyai apa-apa status untuk terus memegang hartanah tersebut dan perlu mengembalikannya kepada waris pewasiatnya, iaitu Shaik Eusoff,” kata beliau.

Hidayat memberi keterangan dalam perbicaraan cicit Shaik Eusoff menentang MAINPP.

Hakim Tinggi Syariah Mohd Yunus Mohamad Zin menetapkan 12 dan 13 Nov depan bagi membolehkan peguam MAINPP membuat persiapan untuk menyoal Hidayat.

Waris taikun hartanah Shaik Eusoff Shaik Latiff.

Plaintif diwakili oleh peguam Akberdin Abdul Kader, Yuslinov Ahmad, Rafie Mohd Shafie, Redza Rafie, Ardy Suffian Akberdin dan Hafizullah Abdullah.

Sementara itu MAINPP diwakili oleh Mohd Anuar Ahmad, Zainul Rijal Abu Bakar, Mohd Najib Rohim dan Mohammad Shafiq Ibrahim.

Terdahulu Hidayat dan dua ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), pensyarah undang-undang Ismail Mohd Abu Hassan dan pensyarah Institut Perbankan dan Kewangan UIAM, Azman Hasan mengemukakan satu dokumen 21 halaman kepada mahkamah.

Saman itu difailkan oleh Abdul Shukor PA Mohd Sultan, Syed Idross Syed Hassan Al Mashoor dan Sheik Mohd Jelani Sheik Emam.

Shaik Eusoff mewasiatkan tanah berkenaan dipegang sebagai amanah untuk keturunan beliau dan digunakan sebagai tanah wakaf selama 21 tahun selepas kematian anaknya yang terakhir.

Anak terakhir daripada tujuh anak beliau, iaitu seorang anak perempuan, meninggal dunia pada 1932, justeru tanah berkenaan perlu dikembalikan kepada pegangan keluarganya pada 1953.

Ini berdasarkan surat wasiat yang ditulis dalam bahasa Inggeris bertarikh 30 Dis 1892.

Kes ini telah keluar dan masuk ke mahkamah sejak akhir 1990-an berkait hujahan bahawa tanah itu dipegang sebagai amanah, bukan wakaf seperti didakwa oleh pihak berkuasa Islam negeri.

Ia kini dirujukkan kepada Mahkamah Syariah untuk penyelesaian.

Shaik Eusoff yang merupakan seorang Jawi Peranakan berasal dari Gujarat, India, adalah taikun hartanah terkenal dan dikatakan memiliki sejumlah besar tanah di George Town pada awal abad ke-19.

Keturunan beliau dikatakan membawa masuk seni boria ke Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.