Bincang pembahagian kerusi Mambong ‘bila tiba masanya’, kata pemimpin PBB

Bincang pembahagian kerusi Mambong ‘bila tiba masanya’, kata pemimpin PBB

Timbalan Presiden PBB, Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada Khamis lalu tidak membincangkan kerusi Mambong perlu ditandingi parti mana bagi pilihan raya masa depan.

Douglas Uggah Embas (dua dari kiri) berkata, PBB hanya memproses permohonan Jerip Susil untuk menyertai parti itu Khamis lalu.
KUCHING:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum membincangkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong selepas Adunnya dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Jerip Susil menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Timbalan Presiden PBB, Douglas Uggah Embas berkata, isu pembahagian kerusi Mambong untuk pilihan raya akan dibincangkan “apabila tiba masanya”.

Katanya, mesyuarat Khamis lalu tidak membincangkan isu itu.

“Mereka hanya memproses permohonan Susil.”

PBB yang diketuai Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg, terdiri daripada sayap Pesaka dan Bumiputera.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Sim Kui Hian bertegas kerusi itu milik partinya.

“Orangnya boleh meninggalkan parti, tetapi kerusi itu kekal dengan SUPP,” kata Sim.

PSB yang dahulunya dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP) ialah parti serpihan SUPP yang ditubuhkan pada 2014.

Permohonan Susil untuk menyertai PBB diterima ketika mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada Khamis lalu.

Susil mengumumkan peletakan jawatan sebagai timbalan presiden PSB pada Julai lalu susulan pengurangan peruntukan bagi projek kecil luar bandar dan projek transformasi luar bandar untuk wakil rakyat parti itu sejak April lalu.

Sim kemudiannya bertegas kerusi Mambong perlu dikekalkan untuk partinya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, bekas ketua menteri Sarawak, Adenan Satem membenarkan beberapa ahli PSB, termasuk Susil bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) kerana mereka dianggap mesra BN.

Penganalisis politik, Francis Paul Siah mencadangkan Abang Johari menggunakan peraturan sama bagi PRN 2021 bagi mengelakkan SUPP marah serta mengekalkan solidariti dan perpaduan dalam GPS.

Katanya, Susil sepatutnya dibenarkan bertanding semula di kerusi Mambong, tetapi sebagai calon langsung GPS, bukannya mewakili PBB atau SUPP.

“Mekanismenya boleh diselesaikan kemudian selepas Susil menang,” katanya kepada FMT.

Selain itu, kata beliau, Abang Johari boleh mencari kerusi Bidayuh lain bagi Susil dan mengembalikan kerusi Mambong kepada SUPP.

“Ini tidak mudah dilakukan kerana PBB ada ramai calon Bidayuh.

“Tetapi, PBB perlu ingat ia mempunyai lebih separuh daripada 82 kerusi DUN dan ia perlu bertimbang rasa terhadap rakan gabungan lebih kecil dan tidak dilihat terlalu tamak.”

Beliau yang mengasaskan Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS) berkata, Sim betul “dari segi teknikal dan politik” mendakwa kerusi itu milik SUPP.

“Mambong (dahulunya dikenali sebagai Bengoh) ditandingi SUPP sejak kerajaan gabungan pertama Sarawak ditubuhkan pada 1970.”

Katanya, Susil yang merupakan bekas wakil rakyat SUPP, mempunyai alasan baik untuk menyertai PBB.

“Selepas meninggalkan PSB, Susil menjadi wakil rakyat bebas. Sebagai ‘lone ranger’, lebih bijak dari segi politik untuk berpihak kepada parti lebih kuat seperti PBB berbanding kembali kepada SUPP yang merupakan entiti lebih kecil. Inilah survival politik bagi Susil.”

Bagaimanapun, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya meramalkan kerusi Mambong akan diambil PBB kerana majoriti pengundinya ialah Bumiputera.

Katanya, SUPP perlu memfokuskan kawasan berpenduduk Cina untuk mendapat sokongan kaum itu.

Beliau berkata, walaupun langkah itu boleh menjejaskan hubungan antara PBB dan SUPP, Sim akan sedia menerima keputusan Abang Johari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.