Tahanan dikait LTTE dibenar jumpa keluarga sempena Deepavali

Tahanan dikait LTTE dibenar jumpa keluarga sempena Deepavali

12 individu termasuk 2 Adun dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan di bawah Sosma dibenar bertemu ahli keluarga di pusat tahanan.

Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran antara 12 individu yang ditahan di bawah Sosma.
KUALA LUMPUR:
Semua 12 individu yang ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibenar bertemu ahli keluarga pada sambutan perayaan Deepavali ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata 12 individu termasuk dua Adun dari Melaka dan Negeri Sembilan itu dibenar bertemu ahli keluarga di pusat tahanan.

“Polis akan benarkan keluarga terdekat untuk berjumpa dengan tahanan sempena sambutan perayaan Deepavali. Keluarga boleh berbuat demikian di tempat di mana tahanan ditempatkan,” katanya kepada pemberita di Masjid Bukit Aman hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi yang menempatkan semua 12 individu itu ditahan.

Sejak Isnin, beberapa ahli keluarga tahanan berhimpun di hadapan Bukit Aman sebagai protes dan menggesa polis membebaskan tahanan bagi menyambut perayaan Deepavali.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu, Hamid berkata kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Polis sedang tunggu maklum balas dari (pejabat) Peguam Negara…siasatan berhubung kes itu masih berjalan,” katanya.

Sebelum ini, 12 individu itu ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan tempoh 28 hari itu dijadual berakhir pada 6 dan 8 Nov, bergantung pada tarikh penahanan mereka iaitu pada 10 dan 12 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.