
Pada 9.10 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1850/1890 berbanding dolar AS daripada 4.1830/1870 yang dicatatkan sewaktu ditutup semalam.
Sementara itu, AmBank Research dalam nota penyelidikannya berkata, peningkatan dolar AS berikutan kenaikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Markit pada Oktober yang mencecah 51.5 mata daripada 51.1 mata pada September, sekali gus mengatasi jangkaan awal pasaran sebanyak 50.7.
Bagi prestasi ringgit berbanding dolar AS, firma penyelidikan itu berkata, ini dijangka menyaksikan keadaan turun naik dengan tahap sokongan sekitar 4.1752 dan 4.1800, manakala rintangan pada 4.1902 dan 4.1940.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0691/0725 daripada 3.0676/0714 dan rendah berbanding yen kepada 3.8508/8555 daripada 3.8482/8533.
Ia bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3752/3812 daripada 5.3890/3945 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6458/6515 daripada 4.6553/6614.