Pendirian kerajaan bisnes di Malaysia terbuka kepada semua kaum

Pendirian kerajaan bisnes di Malaysia terbuka kepada semua kaum

Mengenai kesan kempen Dahulukan Produk Muslim (#BMF), Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang statistik mengenai impak kempen itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, perniagaan tidak boleh bersifat monopoli.
PETALING JAYA:
Kerajaan berpendirian landasan perniagaan sama ada pengeluaran barangan atau perkhidmatan di Malaysia adalah terbuka kepada semua kaum dan tidak boleh bersifat monopoli meskipun ada pihak melancarkan kempen Dahulukan Produk Muslim (#BMF).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah negara didiami pelbagai kaum, kerajaan perlu memastikan setiap penghasilan produk dan perkhidmatan hendaklah menepati aspek amalan perdagangan yang digariskan kerajaan, selain menjamin hak dan keperluan pengguna.

“Pendirian rasmi kerajaan, apa pun usaha perdagangan iaitu penghasilan barangan atau perkhidmatan, pertamanya tidak boleh bersifat monopoli dan iklim perniagaan yang sihat diutamakan,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau harga jualan mestilah kompetetif, penawaran produk dan perkhidmatan yang berkualiti, elemen halal tidak boleh diketepikan serta perlu melindungi hak dan pilihan pengguna.

Saifuddin Nasution berkata demikian di Dewan Rakyat semalam menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu apakah kerajaan menggalakkan kempen dahulukan produk Muslim, lapor Bernama.

Malah menurut beliau, kerajaan juga berpendirian lebih ke arah pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) demi memastikan ekosistem perniagaan kekal kompetitif, dan mementingkan hak pengguna.

Katanya, perkara paling utama yang wajar dilakukan setiap golongan usahawan adalah terus menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik buat pengguna Islam dan bukan Islam atas dasar semangat kenegaraan.

Menjawab soalan asas Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta penjelasan sejauh manakah kerajaan melihat kempen #BMF memberi kesan buruk untuk pertumbuhan ekonomi negara, Saifuddin Nasution berkata, setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang statistik mengenai impak kempen itu.

“Kempen ini baru dimulakan sekitar Julai hingga Ogos lalu dan untuk bercakap tentang kesannya (kempen #BMF), kita perlu melihat pada data statistik. Secara kasar bagi sektor perdagangan, borong dan runcit untuk Oktober cuma memberikan angka terakhir setakat suku kedua tahun ini,” katanya.

Setakat ini, kedudukan sektor berkenaan terus berkembang baik bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan jumlah keseluruhan menyumbang RM58 bilion pada KDNK.

“Namun untuk mengaitkan kempen itu melibatkan kesannya sama ada baik atau buruk pada ekonomi negara kita masih belum ada data statistiknya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.