Niat Hew disalah faham, kata ketua menteri P Pinang

Niat Hew disalah faham, kata ketua menteri P Pinang

Chow Kon Yeow berkata, Hew Kuan Yau hanya mahu memberi pengenalan alternatif kepada China dan pembangunan ekonominya.

Chow Kon Yeow mengadakan sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mempertahankan lelaki di sebalik komik kontroversi mengenai China dengan berkata, berlaku salah faham terhadap niat baik Hew Kuan Yau.

Beliau berkata, Hew hanya mahu rakyat Malaysia melihat China dengan pandangan baru yang bebas daripada bayangan komunisme.

“Niat Hew adalah memberi pengenalan alternatif kepada China dan pembangunan ekonominya,” katanya sambil menambah reaksi terhadap komik itu mungkin berpunca daripada motif tersembunyi.

“Dalam masa sehari, ia diharamkan dan ramai tiada peluang membacanya. Saya rasa pihak berkuasa perlu melihat tujuan sebenar kenapa komik itu diterbitkan, bukannya terus mengharamkannya.”

Bercakap pada sidang media di Komtar di sini, katanya, ada yang berkata sejarawan mahu menilai kesahihan komik itu.

Chow yang juga naib pengerusi DAP berkata, komik itu sekadar platform untuk menunjukkan perkembangan sosialisme di China.

“Walaupun ia pernah dikenali sebagai negara komunis, hari ini ia mempunyai ribuan jutawan.

“Malah, perdana menteri dan menterinya melawat China beberapa kali untuk membincangkan perdagangan.”

Katanya, Muzium Kebudayaan dan Komik Asia Hew yang bertempat di Komtar tidak melanggar sebarang undang-undang dan kerajaan negeri membenarkan penubuhan muzium itu pada 2016 untuk mengaktifkan semula Komtar sebagai kawasan pentadbiran, sivik dan beli-belah.

“Ia adalah produk pelancongan yang unik di Malaysia dan Asia. Ia adalah muzium komik yang menggalakkan kreativiti dan animasi.

“Pelbagai acara diadakan untuk membawa pelukis komik terkenal memberi ceramah dan menganjurkan forum,” katanya sambil menambah kerajaan negeri bersetuju membantu muzium itu dari segi sewa sehingga Dis 2020 sebagai sebahagian perjanjian yang ditandatangani mereka.

Semalam, penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri merampas 13 naskhah komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” versi bahasa Cina dari Muzium Kebudayaan dan Komik Asia.

Ia disusuli rampasan kedua sebanyak 15 naskhah komik itu dalam versi sama di Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Che Zaimani Che Awang mengesahkan serbuan itu dan berkata, komik itu dirampas untuk tujuan siasatan.

Katanya, komik itu dirampas berdasarkan perintah larangan di bawah Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.