
IPOH: Seorang lelaki berusia 57 tahun dikhuatiri tertimbus selepas kediamannya di Kampung Masjid Ijok, Batu Kurau ditimpa tanah runtuh petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.33 petang sebelum sepasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau bergegas ke lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat mangsa juga turut dibantu BBP Selama selepas menerima maklumat itu.
“Maklumat awal kita terima, tanah runtuh itu telah menghempas rumah mangsa di bahagian dapur,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata kerja-kerja mencari serta menyelamat mangsa sedang giat dijalankan.