Kemuka 3 alasan, PAS gesa haramkan DAP

Kemuka 3 alasan, PAS gesa haramkan DAP

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekurang-kurangnya terdapat tiga bukti yang menjadi asas agenda DAP semakin bahaya kepada politik negara.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan mengharamkan DAP, parti yang pernah dijalin kerjasama politik.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuab Man menggesa DAP, komponen kerajaan Pakatan Harapan (PH), diharamkan atas tiga alasan termasuk penerbitan buku komik kontroversi Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama.

Kata beliau, sekurang-kurangnya terdapat tiga bukti yang menjadi asas agenda DAP semakin bahaya kepada politik negara.

“Malah, tindakan tersebut bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan ini wajarlah DAP diharamkan,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

DAP merupakan salah satu komponen Pakatan Rakyat, yang turut pernah dianggotai PAS. Pakatan itu terkubur dua tahun sebelum pilihan raya umum 2018.

Sejak itu kedua-dua parti mengambil laluan masing-masing tetapi terlibat dalam percakaran politik, mengecam satu sama lain sehingga sekarang.

Selain isu komik yang menjadi perhatian sejak minggu lalu, dalam kenyataan hari ini Tuan Ibrahim yang ahli Parlimen Kubang Kerian, menyenaraikan ucapan ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam forum Naratif Malaysia Baru 14 Sept di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor.

Steven Sim telah pun menafikan dakwaan Tuan Ibrahim itu awal bulan lalu.

Isu yang turut dirujuk sebagai alasan menggesa DAP diharamkan termasuklah penahanan 2 Adun parti itu, antara 12 yang ditahan, berhubung usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Semalam, Hew Kuan Yau, yang dikaitkan dengan penerbitan komik tersebut, mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), sehari selepas Putrajaya mengharamkan penerbitan tersebut yang mengundang kecaman kerana dikatakan berunsur propaganda China.

Hew berkata peletakan jawatan itu bagi memastikan kelancaran operasi MCBC, dan keputusannya adalah muktamad. Beliau meletakkan keahlian DAP pada 2016 selepas mencetuskan kontroversi dengan mengatakan Laut China Selatan milik China.

Kementerian Dalam Negeri kelmarin mewartakan perintah larangan mutlak terhadap pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan komik itu.

Kandungan penerbitan itu antara lain didakwa cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.