
Ikhwan Zaidel, 59, berkata wang bagi tujuan kerja-kerja politik yang diminta Isa itu diberi sebanyak sembilan kali dan dimasukkan ke dalam beg kertas untuk diserahkan kepada Muhammad Zahid Mohd Arip, dalam sembilan pertemuan, untuk diberi kepada Isa.
Ikhwan dalam penyataan saksi berkata, beliau menyerahkan wang tersebut kepada Zahid, iaitu bekas pegawai khas kepada Isa, antara Julai 2014 hingga Disember 2015 di lokasi berbeza.
“Zahid ada sekali sekala menghubungi saya untuk menyampaikan ‘salam’ daripada Isa. Saya memahami apa makna ‘salam’ tersebut dan akur atas permintaan (dana politik).
“Selepas dihubungi Zahid, beliau akan menghubungi pemilik JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab, untuk mengeluarkan wang dan diserahkan kepadanya untuk beliau beri kepada Zahid,” katanya ketika pemeriksaan utama pada hari ke-10 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah Isa berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) bernilai RM160 juta.
Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata pada pertemuan pertama wang RM100,000 diisi dalam beg kertas dan diserahkan kepada Zahid di Cigar Room, Hotel Hilton Petaling Jaya pada Julai 2014.
“Saya maklum kepada beliau (Zahid) wang RM100,000 akan ditolak daripada baki RM3 juta (dana politik) yang dijanjikan sebelum ini, yang mana ia menggunakan wang saya sendiri terlebih dahulu. Saya kemudian menyerahkan RM140,000 kepada Zahid antara 21 Julai 2014 hingga 28 Julai 2014 di lokasi sama,” katanya.
Ikhwan yang juga bekas pengarah urusan GAPSB berkata pada Oktober 2014, Zahid menghubunginya untuk menyampaikan “salam” Isa dan beliau menghubungi Azizi untuk memintanya mengeluarkan wang berjumlah RM300,000.
Katanya, wang tersebut diserahkan kepada Zahid di rumahnya (Ikhwan) di Sunway Opal Condominium, Petaling Jaya antara 17 Okt hingga 24 Okt 2014.
“Selang beberapa hari kemudian iaitu antara 5 hingga 10 Nov 2014, saya menyerahkan RM250,000 kepada Zahid di rumah saya dan pada 25 Jun 2015 lebih kurang 11 malam, saya berjumpa Zahid di rumah saya dan menyerahkan RM500,000 kepadanya,” katanya.
Ikhwan berkata beliau menyerahkan RM500,000 lagi kepada Zahid pada 9 Julai 2015, juga di rumahnya (Ikhwan).
Saksi itu berkata pada Ogos 2015, beliau menyerahkan RM300,000 kepada Zahid di rumah abangnya Roney di Semariang, Kuching dan kemudian menyerahkan RM500,000 kepada pegawai khas itu di kediamannya di Sunway Opal Condominium, Petaling Jaya, pada 12 Sept 2015 pada 9.40 malam.
“Saya juga menyerahkan wang RM500,000 lagi kepada Zahid di rumah saya pada 4 hingga 7 Dis 2015. Saya beritahu Zahid bayaran ini merupakan bayaran terakhir daripada RM3 juta untuk Isa.
“Saya percaya semua wang yang saya berikan kepada Zahid adalah untuk Isa. Selepas wang tersebut diserahkan, saya tidak ada lagi terima permintaan daripada Zahid untuk mendapatkan wang bagi pihak Isa,” katanya.
Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.