
Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau tidak merujuk perkara itu kepada sesiapa pun kerana beliau diberi tekanan oleh ahli perniagaan diburu Low Taek Jho atau Jho Low dan Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB) supaya penubuhan syarikat usahasama itu dimuktamadkan pada 28 Sept 2009.
Beliau berkata hutang AS$700 juta itu menjadi efektif selepas beliau menandatangani usahasama 1MDB-PetroSaudi Ltd pada 28 Sept 2009.
Menurutnya, hutang itu disebabkan tiga aset disuntik oleh PSI dikatakan bernilai lebih tinggi daripada apa yang dipersetujui PSI bagi menyumbang kepada usahasama itu.
Saksi berumur 49 tahun itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-26 perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan 1MDB.
Shafee: Sekiranya ia tidak berada dalam draf, sebagaimana yang anda katakan, semasa anda hendak menandatanganinya, tidakkah anda terfikir, anda perlu berhenti sebentar dan merujuk kepada lembaga? Kerana ini perkara serius, AS$700 juta perkara yang serius.
Shahrol: Saya berada dalam keadaan tekanan hebat untuk memastikan usahasama itu ditandatangani. Kedua-dua Jho Low dan Casey memberi jaminan kepada saya, ia ‘OK’, dan Jho Low mengulangi bos benar-benar mahukan supaya perkara ini dilaksanakan.. Jadi saya mengambil keputusan untuk meneruskan, dengan apa yang saya anggap sebagai arahan daripada Najib, dan saya percaya semuanya akan berjalan lancar kerana Jho Low dan Casey bertugas di bawah arahan Najib.
Shafee: Adakah anda bermaksud yang perkara ini perlu ditandatangani segera pada 28 Sept, jadi dengan terma utama ini sekalipun, anda rasakan tidak perlu untuk melibatkan lembaga?
Shahrol: Anggapan saya adalah ini bukan sesuatu yang luar biasa.. Saya tanya Casey “Adakah ‘OK’ untuk tandatangan, Casey kata ‘OK’. Saya percayakan nasihat Casey.
Shafee: Itu sebabnya anda tidak berfikir untuk merujuk kepada BoD?
Shahrol: Ya, betul.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.