
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata melalui kajian tersebut pihaknya akan dapat mengurangkan kapasiti kemampuan untuk mengalirkan air hujan.
“Sekarang ini kita akan membuat kajian untuk melihat di mana kekurangan pada reka bentuk (sistem saliran dan takungan) yang ada yang dulu, supaya dapat menangani sebahagian besar masalah banjir.
“Oleh kerana sekarang hujan dah lebat kemudian mungkin sudah ada perubahan dengan adanya pembangunan maka mungkin kita kena tambah lagi dari segi kapasiti kemampuan untuk mengalirkan air hujan dan air banjir ke sungai-sungai,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman harga baru pembelian tanah Kampung Baru hari ini.
Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan mengatasi masalah banjir kilat di sekitar ibu kota.
Beberapa kawasan di Kuala Lumpur tenggelam ekoran hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir kilat atau dihempap pokok.
Menurut bomba lagi, air yang naik dengan pantas menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Lembah Ledang (Bukit Damansara), Jalan Universiti (pintu masuk Universiti Malaya), Bulatan Segambut (Kampung Delima), Kampung Segambut Dalam, Kampung Sungai Penchala dan kawasan Pasar Seni menghala ke Brickfields.
Sistem Maklumat Pengangkutan Pengangkutan Bersapu (Itis) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan Jalan Tuanku Abdul Halim turut dinaiki air dan kedua-dua lorong di Terowong Duta ditutup dua hari lalu.
Turut dilaporkan ialah kejadian tanah runtuh berkeluasan 12m persegi di Institut Latihan Kemas, Jalan Syed Putra berikutan tembok runtuh sepanjang 10 meter.
Dalam pada itu, enam kejadian pokok tumbang dilaporkan di Jalan Segambut, Taman Sejahtera, Taman Sri Delima, Taman Sri Segambut, Taman Niaga Waris dan di Stesen Minyak Shell, Taman Desa di Kuala Lumpur.