
Faisal Tehrani, yang baru-baru ini dilantik sebagai felo bersekutu dalam projek Syiah Islam, atas permintaan Weatherhead Centre for International Affairs, Harvard, berkata pihak berkuasa Islam di Malaysia pada masa lalu pernah bertindak dengan lebih bijaksana berlandaskan kepada hak-hak minoriti kumpulan Islam yang tidak berpegang kepada doktrin Sunni, diamalkan secara rasmi.
Beliau berkata ini termasuk pengiktirafan pada 1983 untuk komuniti Bohra oleh pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika itu, Abdul Samad Abdul Rahman.
“Mengapa pula tidak? Untuk Syiah Bohra, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Abdul Samad Abdul Rahman dalam tahun 1983 pernah mengiktiraf Syiah Bohra sebagai ‘orang Islam bukan daripada golongan Ahlus Sunnah”.
“Ini diperbaharui dalam tahun 2000 oleh Abdul Malek Ramli, juga dari Jabatan Agama Islam Selangor,” kata Faisal kepada FMT.
Kumpulan Bohra mempunyai ramai pengikut aliran mazhab Syiah yang bukan arus perdana dan tertumpu di benua kecil India. Syiah Islam mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.
Bagaimanapun pihak berkuasa Islam di Malaysia telah mengisytiharkan amalan mereka sebagai “menyimpang”, dengan khutbah di Selangor sering kali dilaporkan mengutuk pengikut Syiah sebagai bidah.
Kelmarin, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Mohd Noor berkata, fatwa menetapkan fahaman Syiah sebagai menyimpang boleh disemak semula berdasarkan hujah bahawa fatwa tidak bersifat sakral atau suci di sisi agama.
Menurut beliau, fatwa tidak lebih daripada ijtihad iaitu usaha oleh para ulama untuk mencari hukum mengenai isu-isu berbangkit dalam masyarakat yang memerlukan penyelesaian.
Kata beliau, fatwa berkemungkinan betul dan ada kemungkinan salah disebabkan beberapa faktor. Antaranya, maklumat tidak lengkap, tidak jelas ataupun terdapat perkara yang terlepas pandang ketika sesuatu keputusan dibuat oleh majlis fatwa.
“Justeru, mana-mana fatwa sekalipun boleh disemak semula oleh para ahlinya sekiranya didapati ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Ini termasuk fatwa berkaitan fahaman Syiah yang telah diputuskan sebagai menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan diikuti oleh fatwa negeri-negeri di Malaysia,” katanya.
Faisal yang telah menghasilkan tujuh buku tetapi telah diharamkan kerana bertemakan Syiah, berkata para sarjana Islam di Malaysia harus mencontohi rakan sejawatan mereka di Singapura.
Beliau berkata Majlis Agama Islam Singapura (Muis) yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam juga telah memberikan pengiktirafan serupa kepada umat Islam bukan Sunni dengan tidak melabel mereka sebagai “sesat”.
“Muis boleh dan telah melakukannya, sejak dari awal penubuhannya, meskipun ia masih di tahap minimal, tetapi usaha itu ada.
“Apa bagusnya majlis agama Islam kita berbanding dengan pihak berkuasa agama di sana? Ustaz di sana juga datang dari tempat pengajian yang sama, Al Azhar,” kata Faisal, merujuk kepada pusat pengajian Sunni Islam di Mesir.
Faisal berkata sebagai minoriti, umat Islam Syiah, yang dianggarkan berjumlah kira-kira 250,000 orang di Malaysia, harus dilindungi.
“Dalam demokrasi, Syiah adalah kelompok minoriti yang harus dilindungi. Bukan ditekan dan disudutkan. Fungsi demokrasi adalah untuk melindungi minoriti termasuk minoriti agama. Jika kita menganggap penganut Syiah bodoh, demokrasi juga untuk orang bodoh. Bukan untuk orang pandai saja.”
“Tidak ada bukti masyarakat Syiah mengancam keselamatan negara. Malah yang pernah berlaku, mereka lah yang diancam teroris, dan diculik oleh elemen dalam pihak berkuasa.
“Jika Rahmatan Lil Alamin mencakupi alien dan haiwan, mengapa tidak manusia dari kaum minoriti?” kata beliau lagi.
Faisal berkata para sarjana Islam arus perdana di Malaysia rasa “segan” untuk mendapatkan pandangan daripada pakar dan sumber Syiah yang berwibawa.
“Jika pihak berkuasa agama segan untuk menjalin hubungan langsung dengan pemuka Syiah tempatan, boleh lakukan dengan pemuka Syiah di luar.
“Ada banyak pertubuhan yang boleh dijadikan perantara. Baik di Indonesia, Singapura mahupun UK dan Amerika Syarikat. Mereka dapat mencadangkan siapakah sarjana Syiah ini.”