
Pertemuan Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar di luar Mesyuarat Peringkat Menteri Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan kedua-dua pihak menulis mengenai pertemuan itu dalam catatan media sosial masing-masing.
Wisma Putra dalam catatan Facebook menulis: Saifuddin mengadakan pertemuan dua hala dengan Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar India, di luar Sidang Kemuncak Ke-18#NAM pada 23 Oktober 2019.
Jaishankar menerusinya twit: “Berbual secara terang dan terbuka dengan rakan sejawatan dari Malaysia @saifuddinabd berhubung isu-isu berbangkit.”
Baru-baru ini, susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai konflik Kashmir, sebuah persatuan perdagangan India menasihatkan anggotanya supaya tidak membeli minyak sawit dari Malaysia.
Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai AS$1.65 bilion (RM6.9 bilion) ke India pada tahun 2018, dan India yang merupakan pengimport minyak sayuran terbesar dunia, bergantung kepada Indonesia dan Malaysia untuk bekalan minyak sawitnya.
Pada 5 Ogos lepas kerajaan India membatalkan status autonomi perundangan Kashmir dan mengenakan banyak langkah-langkah keselamatan baharu, termasuk menghentikan perkhidmatan internet dan telefon, bagi menghalang protes di wilayah itu.
Mahathir, dalam ucpannya di sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan berkata “walaupun dengan resolusi PBB berhubung Jammu dan Kashmir, negara itu telah ditawan dan diduduki”, di samping beliau menggesa India untuk “bekerjasama dengan Pakistan bagi menangani masalah itu.” Mahathir dijangka tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak NAM ke-18.