
“Walaupun Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak memperuntukkan beberapa cara bagi mengambil keterangan kanak-kanak, namun kemudahan ini tidak dapat disediakan kerana kekangan belanjawan.
“Tiada bilik video-link, penghadang, patung anatomi dan sebagainya,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Azalina Othman Said (BN-Pengerang), yang ingin tahu cabaran dihadapi pendakwa raya dan hakim mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak sejak Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dilaksanakan.
Liew menambah kekangan belanjawan juga menyebabkan kemudahan di pusat temuduga kanak-kanak (CIC) tidak diselenggara dengan baik dan menyebabkan kerosakan pada peralatan rakaman video.
Seksyen 6 Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak menyatakan rakaman video merupakan pemeriksaan utama dalam siasatan kes jenayah membabitkan kanak-kanak.
“Tambahan itu juga, keperluan bawah undang-undang bagi penyediaan transkrip tidak dapat dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Liew juga memaklumkan masih tidak ada peruntukan undang-undang dan kemudahan bagi saksi kanak-kanak kurang upaya, kanak-kanak yang mengalami masalah percakapan dan bayi.
Kekangan belanjawan juga memberi kesan pada penemubual saksi, kata Liew.
“Kebanyakan penemubual tidak terlatih untuk menjalankan pemeriksaan utama kerana banyak soalan yang berbentuk soalan memimpin (leading question). Ini menyebabkan CIC tidak diterima oleh mahkamah,” katanya.