
Zafarul-Islam Khan, yang mengetuai Suruhanjaya Minoriti Delhi, agensi ditubuhkan kerajaan persekutuan untuk mewakili agama minoriti, juga menegaskan, keadaan Jammu & Kashmir – yang mana India dan Pakistan telah berperang tiga kali dengan kedua-duanya menuntut kedaulatan keseluruhan wilayah, sepatutnya kekal sebagai sebahagian daripada Kesatuan India.
“Dari sudut pandangan komuniti Muslim India, Kashmir dan rakyat Kashmir merupakan bahagian amat penting dan bernilai dalam masyarakat dan negara (India), dan kami ingin melihatnya sebagai sebahagian daripada Kesatuan India,” kata beliau kepada FMT, sebagai respons kepada kenyataan Mahathir di Perhimpunan Agung PBB bulan lalu, menuduh India telah “menyerang Kashmir” dan melanggar resolusi PBB.
Sejak pemisahan India 1947 yang melahirkan Pakistan, kedua-dua negara telah terlibat dalam beberapa pertengkaran bersenjata berhubung wilayah Kashmir, sebuah kawasan pergunungan di utara dengan majoriti penduduk beragama Islam.
Bagaimanapun Khan, anak Wahiduddin Khan, antara ulama Islam terkenal di India, berkata beliau tidak bersetuju dengan dasar kerajaan sekarang, terutamanya dalam usaha menghapuskan Klausa 370 perlembagaan India, yang menjamin autonomi di beberapa kawasan di Jammu & Kashmir.
Beliau berkata, tindakan kerajaan Modi pada Ogos lalu merupakan satu pelanggaran perlembagaan India, yang menyatakan bahawa klausa autonomi hanya dapat dimansuhkan oleh dewan perundangan Jammu & Kashmir.
“Cara jaminan autonomi dihapuskan dengan tergesa-gesa salah, penafian hak politik dan sivil terhadap penduduk Kashmir salah, dan cara penduduk Kashmir diperlakukan sejak itu juga salah,” kata Khan.
Kenyataan Mahathir sejak itu telah mencetuskan kemarahan di kalangan beberapa pihak di India, dengan ada gesaan supaya memboikot minyak sawit Malaysia.
India adalah pengimport minyak sawit terbesar dari Malaysia, 28% daripada jumlah eksport minyak sawit. Tahun lepas, India telah membeli hampir RM7 bilion minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dari Malaysia.
Walaupun terdapat protes, Mahathir enggan menarik balik kenyataannya, dipercayai bakal menjejaskan hubungan kedua-dua negara yang telah pun rumit susulan pendirian Malaysia tidak mahu mengekstradisi pendakwah Islam kontroversi dari India, Dr Zakir Naik, yang dikehendaki berhubung tuduhan pengubahan wang haram.
Khan, yang pada Ogos berkata Mahathir ada alasan dalam memutuskan untuk tidak menyerahkan Naik dengan merujuk kepada rekod hak asasi kerajaan BJP, berkata Kashmir sentiasa menjadi sebahagian daripada India.
“India tidak menyerang Kashmir pada 5 Ogos 2019. India sudah pun berada di sana dan Kashmir sudah menjadi sebahagian dari India sejak 1949 walaupun terdapat pertikaian dengan Pakistan di wilayah itu,” kata Khan lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, kedaulatan India di rantau ini tidak memberi New Delhi hak untuk mengekang hak asasi manusia, antaranya dengan mengenakan perintah berkurung, menyekat talian internet dan kemudahan telefon bimbit, serta memenjarakan beribu-ribu orang.
“Ini salah dan tidak ada negara demokratik harus melayan mana-mana bahagian penduduknya dengan cara keras dan autokratik,” katanya.