Hapus DAP jika terlibat komik promosi komunisme, gesa pembangkang

Hapus DAP jika terlibat komik promosi komunisme, gesa pembangkang

Kerajaan digesa menyiasat individu yang terlibat atau berkaitan secara langsung dengan penerbitan, pencetakan dan pengedaran komik '.Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama'.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri
KUALA LUMPUR:
Pembangkang mendesak kerajaan semak dan teliti DAP selepas kandungan komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”, yang dikaitkan dengan bekas ahli parti itu, dikatakan mempromosi ideologi komunisme.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri menggesa Kementeran Dalam Negeri segera menyiasat individu yang terlibat atau berkaitan secara langsung dengan penerbitan, pencetakan dan pengedaran komik itu, terutama daripada DAP.

“Pembangkang desak kerajaan semak dan meneliti DAP, jika dapati DAP terlibat, DAP perlu dihapus,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ismail menarik perhatian kepada kata pengantar oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam komik itu, serta gambar di media sosial Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching bersama Hew Kuan Yau, bekas ahli yang mengaku bertanggungjawab ke atas penerbitan komik itu.

“Kegiatan komunis – tak kira sekolah Melayu, Cina atau India – tidak boleh kerana bercanggah dengan undang-undang,” katanya.

KDN semalam mewartakan perintah larangan mutlak terhadap pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan komik itu.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis,” katanya.

Malaysia melalui dua fasa bersenjata melawan komunis, iaitu pada Darurat 1948-1960 ketika Semenanjung masih dikenali sebagai Tanah Melayu, dan Insurgensi 1968-1989 selepas pembentukan persekutuan.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, pembangkang berkata pengharaman komik tidak mencukupi dan mencabar pemerintah bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang dikaitkan dengan buku kontroversi itu.

“Bagaimana dengan orang yang buat kata pengantar, timbalan menteri yang menerima tetapi tidak menegur, membenarkan ia diedarkan? Mereka ini harus dipertanggungjawabkan,” kata Annuar Musa (BN-Ketereh).

Beliau berkata rakyat kebanyakan tentu dikenakan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri jika memiliki dokumen seperti itu.

“Macam mana sekarang anggota Kabinet, menteri dan timbalan menteri boleh terlibat dalam dokumen disahkan KDN sebagai menyebar fahaman komunisme dan sosialisme,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.