Bukan kami tak bersyukur, ia mengenai janji, MP Sarawak beritahu DAP

Bukan kami tak bersyukur, ia mengenai janji, MP Sarawak beritahu DAP

Fadillah Yusof membidas kenyataan pemimpin DAP Ngeh Koo Ham yang mendakwa pembangkang dari Malaysia Timur 'tidak bersyukur' dengan peruntukan Belanjawan 2020.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sarawak membidas pemimpin DAP Ngeh Koo Ham yang mendakwa parti pembangkang dari Malaysia Timur “tidak bersyukur” susulan ketidakpuasan mereka dengan peruntukan untuk negeri terbabit dalam Belanjawan 2020.

Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof berkata, kenyataan Ngeh menunjukkan pemimpin DAP “tiada petunjuk” dan tidak menyentuh mengenai keperluan dan sentimen rakyat Sarawak.

“Mungkin Ngeh lupa kami dalam pembangkang membawa suara rakyat. Apabila kami bercakap, kami mempunyai sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.

“Dalam kes ini, bukanlah kami tidak bersyukur seperti yang dia dakwa. Ia adalah janji-janji yang dibuat Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat Sarawak dan Sabah, dan janji-janji ini belum ditunaikan,” katanya kepada FMT.

Beliau menyenaraikan janji paling utama dalam manifesto PH iaitu membayar dua negeri tersebut 20% royalti minyak dan gas berbanding 5% sekarang.

Beliau juga bercakap mengenai janji untuk mengembalikan 50% daripada hasil cukai yang dikutip dari Sarawak.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudian berkata kerajaan tidak dapat menaikkan royalti kerana negara dibebani hutang.

Fadillah berkata rakyat merasa tertipu dengan janji pilihan raya yang dibuat Lim dan Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

“Lebih memburukkan lagi keadaan, kami membaca laporan bahawa kerajaan meminjam berbilion-bilion pada kadar yang membimbangkan, namun mereka selalu menggunakan hutang sebagai alasan untuk menafikan hak kami.”

Beliau juga berkata kerajaan persekutuan mampu memberikan sejumlah RM100 juta kepada Pulau Pinang bagi projek kereta kabel sementara membatalkan projek infrastruktur utama di Sarawak yang telah diluluskan.

Beliau berkata pembinaan tiga jambatan di Batang Lupar, Igan dan Rambungan dibatalkan manakala projek bekalan air dan pengurusan banjir juga dibatalkan.

“Pertama, mereka tidak menghormati janji mereka, kemudian mereka membatalkan projek yang sudah diluluskan dan lagi, mereka berani kata kita tidak bersyukur?

“Saya rasa Ngeh perlu datang ke sini dan melihat sendiri keperluan rakyat. Kemudian mari kita lihat jika dia berani beritahu rakyat yang mereka tidak bersyukur.”

Putrajaya mengumumkan Sabah dan Sarawak masing-masing akan menerima RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion dalam perbelanjaan pembangunan tahun depan – kira-kira 17% jumlah perbelanjaan pembangunan daripada RM56 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.