Tuduh speaker berat sebelah, ahli Parlimen BN dihalau keluar dewan

Tuduh speaker berat sebelah, ahli Parlimen BN dihalau keluar dewan

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dihalau selepas beliau enggan menarik semula kenyataannya terhadap speaker Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bertindak menghalau Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) keluar dari Dewan Rakyat kerana menuduhnya bersikap berat sebelah.

Ariff berkata, keputusan menghalau Azeez dibuat selepas menurutnya ahli Parlimen berkenaan enggan menarik semula kenyataannya terhadap speaker Dewan Rakyat.

“Baling (Abdul Azeez) sebut saya berat sebelah, sekali lagi sebut saya akan usir. Usir, beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat selama dua hari. Saya minta dia keluar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan itu, Azeez yang dilihat terkejut dengan tindakan Ariff, segera menarik semula kenyataan yang dibuatnya sebelum itu.

“Saya sudah tarik balik, kenapa saya hendak dihalau, kenapa tidak boleh saya tarik balik. Dihalau kalau tidak tarik balik tetapi saya sudah cakap dengan hormatnya,” kata Azeez.

Selepas arahan dikeluarkan oleh Ariff, Azeez dilihat tetap duduk di kerusinya walaupun dihampiri bentara Dewan Rakyat, bagi mengiringinya keluar dari dewan.

Sebelum itu, timbul kekecohan di Dewan Rakyat apabila Shahidan Kassim (BN-Arau) menggunakan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, mempertikaikan tindakan dan kenyataan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Ia susulan Shahidan mendakwa Rayer semalam mengeluarkan perkataan “bodoh” kepadanya dan Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) semasa sesi Dewan Rakyat berlangsung.

Ariff bagaimanapun sudah mengarahkan Rayer untuk menarik semula kenyataan dibuatnya pada semalam.

“Jelutong tarik balik semula perkataan bodoh, kalau dia sebut,” kata Mohamad Ariff.

Rayer bagaimanapun dilihat bangun dari kerusinya dan menarik semula kenyataan “bodoh” yang ditujukan kepada Shahidan dan Che Abdullah itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.