Seronok main air banjir tapi tahukah anda ia merbahaya?

Seronok main air banjir tapi tahukah anda ia merbahaya?

Air banjir akan bercampur dengan air kumbahan dan ia mengandungi mikroorganisma boleh menyebabkan penyakit seperti E Coli, Hepatitis A dan kolera.

Setiap kali menjelang akhir tahun pastinya semua sudah sinonim dengan monsun musim hujan.

Keadaan ini sering berlaku di negeri Pantai Timur iaitu di Kuantan, Terengganu dan Kelantan.

Namun ada masanya hujan tanpa henti ini juga berlaku di negeri seperti Perlis, Kedah dan Perak.

Hujan ini akan menyebabkan berlakunya banjir di beberapa tempat yang dikenalpasti sebagai kawasan tanah rendah.

Jika di bandar-bandar besar, banjir kilat kerap terjadi terutamanya jika hujan lebat turun tanpa henti dan mengakibatkan paras air naik secara mendadak.

Manakala di negeri Pantai Timur, banjir besar boleh berlaku dan mengakibatkan rumah kediaman dinaiki air dan tenggelam.

Tidak kira sama ada banjir kilat atau banjir besar, kedua-duanya adalah sama bahaya.

Bagi kanak-kanak atau juga orang dewasa, musim banjir menjadi medan untuk mereka berenang atau bermandi-manda.

Namun tahukah anda mandi air banjir ini sebenarnya sangat berbahaya.

5 sebab mengapa air banjir sangat bahaya

1. Campuran air kumbahan

Pada hari biasa, air kumbahan yang berada di dalam tangki kumbahan berada pada paras yang lebih rendah daripada penutup tangki agar ia tidak melimpah keluar. Boleh anda bayangkan ketika banjir berlaku?

Ya, air memenuhi tangki tersebut dan menyebabkan air kumbahan keluar dan bercampur dengan air banjir.

Tidak perlu dinyatakan apa yang terdapat dalam tangki kumbahan kerana anda sendiri pasti tahu apa yang ada di dalamnya.

Air kumbahan mengandungi mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit seperti E Coli, Hepatitis A dan kolera.

Luka pada tubuh akan mudah dijangkiti jika terdedah dengan air banjir yang tercemar.

2. Bahan berbahaya

Air banjir turut bercampur dengan bahan kimia berbahaya seperti minyak kenderaan dan petrol atau diesel.

Mungkin juga sisa buangan industri atau fasiliti-fasiliti pembuatan yang mengandungi bahan toksik.

Selain itu, air banjir turut mengandungi sisa yang diperoleh daripada ladang-ladang seperti racun serangga, racun tumbuhan dan sisa tinja haiwan.

3. Bahan yang tajam

Adakah anda pasti apa yang terdapat pada dasar air banjir? Perlu diingat, air banjir membawa semua benda-benda yang berada di sepanjang laluannya ke bahagian hilir.

Berkemungkinan terdapat bahan-bahan tajam dan berbahaya yang anda tidak boleh lihat.

Antara objek yang berpotensi memberi bahaya kepada anda ialah pecahan serpihan kaca, kawat berduri, ranting atau dahan pokok selain sisa logam yang tajam.

4. Pembiakan nyamuk

Nyamuk amat suka pada persekitaran air bertakung. Mengapa? Air bertakung adalah tempat yang paling ideal untuk nyamuk bertelur.

Jika anda merupakan salah seorang mangsa musim banjir, gunakan kelambu semasa tidur dan gunakan penyembur serangga untuk menghalau dan membunuh nyamuk.

Kadar kehadiran dan pembiakan nyamuk amat tinggi ketika musim banjir.

5. Potensi lubang air

Arus air yang kuat diikuti dengan beban air yang tinggi diatas permukaan tanah boleh menyebabkan tanah atau struktur jalan menjadi mendap atau tenggelam.

Ketika air hujan menjadi keruh dan menyebabkan banjir, anda tidak akan tahu sekiranya jalan tersebut selamat dilalui atau tidak.

Anda tidak tahu berkemungkinan struktur jalan tersebut telah runtuh dan dibawa air.

Oleh itu, elakkan menggunakan kenderaan darat atau berjalan kaki melalui air banjir.

Cara yang paling selamat adalah menggunakan bot atau sampan kecil.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.