Peruntukan NFDP bakal digunakan baiki kemudahan akademi, kata FAM

Peruntukan NFDP bakal digunakan baiki kemudahan akademi, kata FAM

FAM masih beri keutamaan kepada memperkasa program NFDP, kata Timbalan Presiden Subahan Kamal.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menggunakan sebahagian peruntukan RM45 juta untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, bagi memperbaiki kemudahan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

Timbalan Presiden Subahan Kamal bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih memberikan keutamaan kepada memperkasakan program NFDP, yang melahirkan ramai pemain muda berkualiti sejak 2014.

“Fokus juga perlu diberikan kepada kebajikan jurulatih dan pemain AMD. Mereka aset bola sepak negara, terutamanya pemain AMD yang tinggal jauh daripada keluarga,” katanya selepas merasmikan Bengkel Serantau Program Bola Sepak Sekolah, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa hari ini.

Kerajaan memperuntukkan RM45 juta kepada NFDP berbanding RM15 juta pada tahun lepas, menerusi pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Okt.

Subahan, yang merupakan pengerusi jawatankuasa teknikal NFDP memaklumkan sebuah jawatankuasa pemandu akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menentukan nilai pampasan yang perlu dibayar pasukan Liga Malaysia yang berminat mendapatkan pemain daripada AMD.

Beliau menjelaskan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan turut dianggotai wakil Majlis Sukan Negara dan Kementerian Pendidikan, sedang meneliti mekanisma terbaik, dalam menentukan nilai pampasan yang sepatutnya diterima AMD.

NFDP ditubuhkan bertujuan melahirkan pemain bertaraf dunia, kini mempunyai lebih 25,000 pelatih seawal usia 12 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara, termasuk lebih 200 pelatih elit berpangkalan di AMD di Gambang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.