Labur secara profesional tanpa pengaruh politik, antara 3 syor PAC kepada Khazanah

Labur secara profesional tanpa pengaruh politik, antara 3 syor PAC kepada Khazanah

PAC juga mahu Khazanah meneruskan perancangan dan tindakan strategi baru untuk mengawal risiko pelaburan syarikat seperti yang telah dimaklumkan kepada PAC Parlimen.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengemukakan tiga syor kepada Khazanah Nasional Berhad susulan siasatan dijalankan sejak April lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu Khazanah Nasional Berhad melaksanakan pelaburan secara strategik dan profesional tanpa ada pengaruh politik.

Ia salah satu daripada tiga syor dikemukakan PAC dalam laporannya kepada Parlimen berhubung dakwaan kerugian pelaburan Khazanah.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi PAC, Noraini Ahmad berkata, Khazanah juga perlu meneruskan perancangan dan tindakan strategi baru untuk mengawal risiko pelaburan syarikat seperti yang telah dimaklumkan kepada PAC Parlimen.

“Khazanah perlu mengemukakan laporan maklum balas pelaksanaan syor-syor kepada PAC Parlimen dalam masa setahun daripada tarikh laporan ini dibentangkan di Dewan Rakyat,” kata beliau.

Noraini berkata walaupun tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, jawatankuasa itu menggunakan punca kuasa melalui PM77(1)(d) dan PM83(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengadakan prosiding.

Keputusan PAC untuk mengadakan prosiding terhadap kerugian pelaburan Khazanah pada 1 April lalu timbul selepas pelbagai spekulasi di kalangan rakyat apabila dana kekayaan negara melaporkan kerugian sebanyak RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.9 bilion pada 2017.

Kata Noraini, berdasarkan penjelasan dan keterangan kedua-dua saksi, PAC secara keseluruhan berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan oleh Khazanah mengenai kerugian RM6.3 bilion dalam tahun 2018.

“PAC mengambil maklum tentang polisi kerajaan yang dilaksanakan secara mendadak terutamanya dalam sektor telekomunikasi yang telah memberi impak yang besar kepada beberapa syarikat telekomunikasi yang dimiliki oleh Kerajaan melalui Khazanah,” kata beliau.

Selain itu, PAC mengambil kira Malaysia mula mengamalkan standard perakaunan Financial Reporting Standards (FRS) 9 berkuat kuasa pada 1 Jan 2018.

“Berikutan dengan pematuhan kepada FRS 9 bagi menyediakan akaun Khazanah berakhir pada 31 Dis 2018, maka Khazanah telah melaporkan rosot nilai terkumpul berjumlah RM3.1 bilion pada Mac 2019 dan ini telah memberi imej negatif,” katanya lagi.

Kata beliau, PAC mengambil maklum strategi pelaburan terdahulu yang mempunyai risiko yang terlalu tinggi kerana lebih kurang 80% – 85% adalah tertumpu kepada 9 hingga 10 syarikat sahaja.

“Strategi ini telah mendedahkan Khazanah kepada risiko pelaburan yang tinggi,” jelas beliau.

Selain itu katanya, PAC mengambil maklum bahawa Khazanah telah mula bertindak dari segi strategi pelaburan baru untuk memperluaskan dan mempelbagaikan pelaburan mereka.

“Khazanah juga telah mengambil langkah mengurangkan kos operasi mereka,” katanya.

Orang ramai boleh dapatkan Laporan PAC Parlimen berhubung kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad dengan akses alamat www.parlimen.gov.my/pac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.