KPKT kaji permohonan operasi pinjaman wang digital

KPKT kaji permohonan operasi pinjaman wang digital

Ia masih dalam proses penggubaran SOP dan pindaan akta bagi membolehkan pinjaman wang secara digital dijalankan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji beberapa permohonan untuk menjalankan perkhidmatan pinjaman wang digital, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Zuraida Kamaruddin berkata ketika ini masih belum ada lesen seumpama itu diluluskan memandangkan ia masih dalam proses penggubalan tatacara operasi standard (SOP) dan pindaan akta bagi membolehkan pinjaman wang secara digital dan konvensional dijalankan.

“Kita akan lihat perkara ini sebagai suatu perkara positif kerana ia memudahkan transaksi antara peminjam dan pemberi pinjaman.

“Perkara ini sedang diteliti dan kita akan perketatkan kawalan bagi peminjam dan pemberi pinjaman,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu sekiranya KPKT bercadang menggubal akta bagi memastikan tidak berlaku penipuan pinjaman wang dalam talian.

Selain itu, kementerian juga sedang menggubal Akta Kredit Pengguna dalam usaha memastikan pengguna mendapat pinjaman wang berlesen yang patuh syariah.

“Akta ini digubal bertujuan melindungi pengguna supaya tidak dianiaya,” tambah Zuraida.

Menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) berkenaan kegiatan sindiket ceti haram ah long yang masih berleluasa, Zuraida berkata pihaknya mengambil tindakan menjejaki lokasi ah long terbabit melalui nombor telefon yang diiklankan.

“Untuk kes-kes ah long, kita kumpul maklumat dan kesan mereka ini. Kita kesan melalui nombor telefon yang diiklankan di merata tempat termasuk di laman sosial Facebook. Sekiranya ada kes, kita akan lapor kepada polis,” tegasnya.

Zuraida berkata sejak 2017 hingga 2019, pihaknya menerima sebanyak 1,416 aduan terhadap peminjam wang berlesen yang kini dikenali sebagai kredit komuniti.

Sebanyak 469 pertuduhan direkodkan, 251 dikenakan kompaun dan 299 tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Kalau kita lihat laporan yang diterima bagi kes-kes melibatkan kredit komuniti ini lebih menjurus kepada kesalahan melibatkan pengurusan yang mana tidak ada rekod dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.