
“Kita akan mendapatkan pakar sejarah untuk mendapatkan kesahihan berkaitan fakta sejarah yang terdapat dalam buku komik tersebut,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Huzir Mohamed pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Polis sudah merampas semua komik itu yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, dan permohonan dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri untuk semakan dari segi kebenaran cetak.
“Kita juga telah buat lawatan ke kilang pencetakan komik ini di Shah Alam. Kita sudah rakam percakapan dua saksi daripada syarikat percetakan berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama, Perpustakan Negara juga dihubungi berkenaan pengeluaran Rangkaian Digital Perkhidmatan Bersepadu (ISBN) untuk komik itu.
Bukit Aman hari ini memanggil empat individu termasuk seorang bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau untuk diambil keterangan dalam siasatan ke atas penerbitan komik itu.
Huzir memaklumkan sebanyak Hew akan dipanggil semula. “Banyak lagi soalan yang kita nak tanya dia.”
Pada 18 Okt, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata laporan awal bahagian keselamatan kementerian mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik tersebut.
Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).